Jemaah haji mula berhimpun di Arafah


Jemaah haji bergerak ke Arafah selepas bermalam di Mina pada hari kelapan Zulhijjah yang juga dikenali sebagai hari tarwiyah. – Gambar AFP, 19 Julai, 2021.

JEMAAH haji mula berhimpun untuk wukuf di Arafah awal hari ini bagi memulakan ibadah haji yang sekali lagi berlangsung dalam tatacara ketat kawalan pencegahan pandemik Covid-19, lapor Arab News.

Jemaah haji bergerak ke Arafah selepas bermalam di Mina pada hari kelapan Zulhijjah yang juga dikenali sebagai hari tarwiyah.

Di Arafah, jemaah akan mendengar khutbah Hari Arafah yang akan disampaikan oleh Syaikh Dr Bandar Abdul Aziz Balila dari Masjid Namirah. 

Khutbah Arafah dijadual pada pukul 12.30 tengah hari (waktu Mekah) atau 5.30 petang waktu Malaysia.

Khutbah itu akan diterjemahkan ke dalam 10 bahasa termasuk Bahasa Melayu, selain antaranya Perancis, Urdu, Rusia, Benggali dan Mandarin, dan boleh diikuti melalui laman web Manaratalharamain.

Dari Arafah, jemaah seterusnya akan bermalam di Muzdalifah dan kemudian melontar di tiga jamrah.

Untuk tahun kedua, Arab Saudi membenarkan ibadah haji hanya kepada jemaah yang menetap di negara itu bagi membendung penularan Covid-19.

Khutbah Arafah dijadual pada pukul 12.30 tengah hari (waktu Mekah) atau 5.30 petang hari ini waktu Malaysia.– Gambar AFP, 19 Julai, 2021.

Sejumlah 60,000 warga Arab Saudi dan pemastautin yang sudah mengambil vaksin diberi kebenaran, berbanding lazim yang boleh mencecah sehingga 2.5 juta jemaah.

Minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata 263 rakyat Malaysia di Arab Saudi berpeluang menunaikan haji tahun ini, berbanding lapan orang pada tahun lalu. – 19 Julai, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen