SEMUA calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Barisan Nasional (BN) akan ditapis oleh sebuah unit khas di bawah parti pemerintah itu yang dibantu oleh beberapa agensi kerajaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Timbalan Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi.
Jelas beliau, tapisan itu bertujuan memastikan semua calon BN pada PRU14 benar-benar bersih dan boleh diterima pengundi.
“Integriti dijadikan soal utama dalam pemilihan calon. Kita tahu bahawa soal-soal yang tersangkut dengan integriti melibatkan rasuah atau penyalahgunaan kuasa atau personaliti atau sahsiah yang bercanggah dengan pelbagai perundangan perlu diberikan perhatian,
“(Ujian dilakukan) Unit khas dari BN sendiri dan kita minta kerjasama dari pelbagai agensi termasuk SPRM,” kata beliau pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada program diskusi intelektual di Institut Integriti Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.
Zahid turut berkata semua parti komponen BN itu turut mempunyai calon simpanan yang akan menggantikan mereka yang tidak melepasi tapisan tersebut.
Beliau berkata pengiraan soal integriti adalah mudah kerana ia bukanlah sesuatu yang abstrak dan boleh dinilaikan secara empirikal.
“Calon-calon simpanan yang kita lakukan ujian dari segi penerimaan masyarakat untuk pengundi tempat itu kepada calon berkenaan dan juga daya kemenangan seseorang itu dan integriti membaluti ciri-ciri penting dan kita menekankan soal integriti kerana integriti bukan sesuatu yang amat abstrak bentuknya tetapi boleh dilakukan kajian-kajian secara empirikal,” katanya.
PRU14 disifatkan oleh Perdana Menteri Najib Razak sebagai “ibu segala Pilihan Raya” bakal berlangsung selewatnya Ogos tahun ini.
BN bakal berhadapan dengan gabungan pembangkang Pakatan Harapan yang terdiri daripada empat parti dan diterajui bekas presiden BN yang juga bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Pada PRU13 lalu, BN menang 140 daripada 222 kerusi Parlimen walaupun ketinggalan dalam jumlah undi popular.
September tahun lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad memuji BN kerana membuat inisiatif menghantar calon kepada pihaknya.
Menurut beliau walaupun tiada keperluan untuk berbuat demikian, usaha parti itu merupakan langkah terbaik bagi memastikan calon yang disenarai tidak terbabit dalam penyalahgunaan kuasa dan rasuah.
“Tiada paksaan dan perundangan mengenai perkara ini. SPRM sangat terbuka dan menggalakkan parti poltik yang ingin menyertai pilihan raya akan datang untuk menyaring calon mereka dari sudut rasuah,” katanya.
Pada 6 Januari lalu, Dzulkifl mengesahkan pihaknya telah menerima senarai calon daripada beberapa parti politik lain pula untuk disaring sempena PRU14.
Bagaimanapun beliau tidak mendedahkan nama parti politik dan calon terbabit. – 16 Januari, 2018.
Komen