SAMBUTAN Hari Raya Aidiladha tidaklah lebih utama pada masa ini berbanding menjaga kesihatan sendiri dan ahli keluarga di tengah pandemik Covid-19 yang masih menular, kata sebuah badan pemikir dasar kesihatan.
Galen Centre for Health and Social Policy menyeru orang ramai supaya tidak menipu diri sendiri dengan cuba mengambil kesempatan daripada kelemahan sistem yang ada untuk melanggar ketetapan pencegahan wabak.
“Orang ramai perlu menahan diri daripada cuba mengatasi sistem, mengeksploitasi jalan keluar dan menipu diri sendiri dan orang lain.
“Menyambut Hari Raya Aidiladha tidaklah lebih penting daripada menjaga keselamatan diri sendiri dan keluarga daripada jangkitan Covid-19,” kata ketuanya Azrul Mohd Khalib dalam satu kenyataan.
Jelasnya, ini bukan masa untuk bersikap sambil lewa sehingga menjejaskan segala apa yang sudah dicapai setakat ini melalui program vaksinasi.
“Sama ada epidemik ini bertambah buruk atau lebih baik bergantung pada tingkah laku dan kerjasama setiap individu,” tambahnya.
Azrul menyuarakan kebimbangan terhadap pelbagai kelonggaran yang kini diberikan untuk kegiatan ibadah di masjid, termasuk solat jemaah dan kuliah agama.
Katanya, semua ini adalah perhimpunan beramai-ramai yang boleh jadi punca penularan.
Beliau mengingatkan punca gelombang keempat penularan Covid-19 di Malaysia yang sedang meningkat sekarang, yang bermula semasa bulan Ramadan pada pertengahan April.
Pihak berkuasa agama pada masa itu membenarkan solat jemaah dan terawih di masjid dan surau. Majlis Keselamatan Negara juga pada masa itu membenarkan bazar Ramadan dibuka sebelum kemudiannya kebenaran itu ditarik balik.
Menurut Azrul, pembukaan rumah ibadah dengan jumlah kehadiran 70 atau 30 peratus daripada kapasiti penuh tidak didukung oleh bukti saintifik.
“Tidak ada angka ajaib. Ini semua masih juga perhimpunan,” katanya.
Beliau juga mengingatkan bagaimana Covid-19 berjangkit kerana orang ramai melanggar larangan mengadakan jamuan atau kunjung-mengunjung semasa perayaan.
“Kita masih menanggung akibat daripada apa yang berlaku.
“Hari Raya Aidiladha ini jangan kita ulang kesilapan sama,” kata Azrul.
Kelmarin, Majlis Keselamatan Negara mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) sambutan Hari Raya Aidiladha, antara lain melarang ziarah dan rumah terbuka.
Pihak berkuasa agama di semua negeri juga mengeluarkan SOP ibadah korban, yang akan berjalan mulai esok hingga hari terakhir tasyrik iaitu pada Jumaat.
Sementara itu, sejak semalam, Polis DiRaja Malaysia tidak lagi menerima surat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk sebarang pergerakan rentas negeri.
Peraturan sementara itu kata Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkuat kuasa sehingga Rabu ini. – 19 Julai, 2021.
Komen