“PENGORBANAN kita dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan perkara di luar kebiasaan. Itulah pengorbanan. Kita harus menyambut Aidiladha dengan patuh kepada SOP yang ditetapkan kerajaan.
“Elakkan menyanggahi ketetapan kerajaan seperti had maksimum solat, had maksimum petugas korban dan sebagainya, ” kata Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Dakwah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam, Pulau Pinang Abu Mansur Maturidi Mohd Romli baru-baru ini.
Menurutnya, kesabaran adalah hikmah terbesar dalam pengorbanan dan semakin ramai yang hilang sabar apabila perlu berkorban.
“Meningkatkan ketaatan kepada Allah dalam segala aspek ialah pengorbanan terbesar setiap hamba Allah,” katanya.
Dengan merujuk kepada pandemik Covid-19 yang masih berlarutan di Malaysia dan juga seluruh dunia, beliau menambah, tempoh krisis kesihatan yang sedang dialami ini sebenarnya juga menguji sejauhmana pengorbanan setiap individu dalam berhadapan dengan saat sukar ini.
Ini kali kedua umat Islam di Malaysia menyambut Hari Raya Aidiladha yang juga dikenali sebagai Hari Raya Korban dalam suasana pandemik Covid-19 dan perlu akur dengan SOP yang ditetapkan kerajaan.
Zahir rasa syukur
Bercakap mengenai ibadah korban, Abu Mansur berkata ibadah korban ini disunatkan kepada orang-orang yang berkemampuan atau orang-orang yang ada lebihan dalam kehidupan harian sebagai menzahirkan rasa syukur kepada Allah.
“Aidiladha atau hari raya korban memperingatkan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Ia disambut bagi menghayati pengorbanan Nabi Ibrahim yang diperintahkan oleh Allah SWT untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail.
“Dalam ertikata lain, ketaatan kepada Allah memerlukan pengorbanan,” katanya.
Abu Mansur berkata jika sebelum ini (sebelum pandemik Covid-19), ibadah korban disambut dengan kadar “asal boleh”, namun dengan penularan virus berkenaan, dapat dilihat ibadah korban dilaksanakan lebih teratur.
“Lebih teratur dengan keperluan perancangan dan pelaksanaan agar mematuhi SOP ibadah. Sepertimana hari raya Aidilfitri, hari raya haji ini juga perlu diraikan dalam suasana sederhana. Apabila disambut secara sederhana ia akan menimbulkan kerendahan jiwa kita berbanding kita menyambut dalam keadaan serba seronok dan meriah,” katanya.
Redha dengan ujian
Kehadiran virus Covid-19 turut menguji keimanan dan kesetiaan umat manusia dalam mengharungi kehidupan.
Begitu juga yang dialami oleh seorang pengusaha lembu dari Pulau Pinang, Mohamad Nasir Awang, 44, yang reda dengan ujian dalam menjalankan perniagaan ladang lembu.
Mengakui pada tahun ini tempahan lembu untuk ibadah korban semakin menurun berbanding 2020, beliau akur dan berlapang dada dengan seadanya rezeki yang diberikan.
“Ya pada tahun ini jualan lembu semakin berkurang lagi jika hendak dibandingkan dengan tahun lepas. Tahun ini tempahan lembu hanya 30 ekor berbanding tahun lepas 50 lembu yang dikorbankan untuk hari raya haji,” katanya.
Nasir berkata pengurangan jualan lembu tersebut disebabkan faktor kes Covid-19 yang semakin meningkat serta penyembelihan lembu juga perlu dibuat mengikut SOP yang lebih ketat antaranya hanya lima ekor sahaja lembu dibenarkan sehari selain bilangan petugas yang dihadkan.
Bagi ibadah korban tahun ini kerajaan menetapkan syarat bahawa ibadah korban dibenarkan bermula pada hari raya Aidiladha dan tiga hari Tasyrik,
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dilaporkan berkata aktiviti menyembelih haiwan korban boleh dimulakan pada 6 pagi hingga 6 petang dengan had kehadiran tidak melebihi 10 orang termasuk petugas.
Di samping itu, hanya 27 rumah penyembelihan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dibenar menjalankan proses penyembelihan.
Biarpun jualan mencatat penurunan, Nasir yang mengusahakan ladang lembu sejak 2005 di Machang Bubok, Pulau Pinang dengan dibantu isteri serta tiga anaknya berusia antara 12 hingga 16 tahun tetap bersyukur kerana masih lagi menerima tempahan lembu sewaktu negara dilanda pandemik.
Sebelum pandemik Covid-19, beliau pernah mendapat tempahan sehingga 70 lembu.
Beliau berkata pada tahun ini harga lembu yang dijual bermula dari RM5,500 hingga RM8,000 bergantung kepada jenis baka lembu.
Kebanyakan tempahan lembu yang diterima bagi perayaaan kali ini lembu jenis Kedah-Kelantan (KK) dan Brahman.
Berkongsi pembabitannya dalam perusahaan ladang lembu, Nasir yang juga kontraktor perumahan itu berkata beliau bermula dengan empat lembu pada 2005 dan kini memiliki 100 lembu dari pelbagai jenis baka iaitu Brahman, Belgian Blue, Charolais dan Bega yang diusahakan sendiri tanpa mengambil pekerja.
Menzahirkan harapan agar pandemik Covid-19 segera berakhir, Nasir berharap penjualan lembunya akan kembali seperti sebelum koronavirus maut itu melanda negara ini.
Di samping menjual lembu bagi ibadah hari raya haji, beliau turut menjalankan perniagaan menjual daging lembu pada hari biasa dengan harga sekilogram RM36.
“Älhamdulillah, untuk perayaan Aidiladha tahun ini tempahan yang diterima mencecah 300kg,” katanya.
Ibadah korban dan Hari Raya Aidiladha
Ibadah korban ialah satu amalan yang utama yang berstatus sunat muakkad iaitu sunat yang sangat dituntut (digalakkan).
Tahun 2021 menyaksikan umat Islam di bumi Malaysia akan menyambut perayaan Hari Raya Aidiladha dengan suasana penuh sederhana apatah lagi negara masih berdepan situasi pandemik Covid-19.
Bertepatan dengan penghayatan pengorbanan yang amat sinonim dengan sambutan Aidiladha, umat Islam dituntut untuk sentiasa menginsafi diri serta menghayati erti pengorbanan sebaiknya.
Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Korban juga Hari Raya Haji merupakan perayaan yang disambut oleh umat Islam di seluruh dunia. Perayaan ini merupakan perayaan terbesar di dalam Islam selain Aidilfitri yang disambut pada setiap 1 Syawal.
Aidiladha disambut pada hari ke-10, ke-11, ke-12 dan ke-13 bulan Zulhijjah setiap tahun. Bermula dengan takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti solat sunat Aidiladha serta khutbah Aidiladha di pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan sama ada pada 10, 11, 12 atau siang 13 Zulhijjah di mana semua waktu ini dipanggil Hari Tasyrik. – Bernama, 19 Julai, 2021.
Komen