England tamatkan perintah sekatan Covid-19


England hari ini menamatkan perintah sekatan pandemik Covid-19 dengan menghapuskan semua penjarakan sosial dan pemakaian topeng muka serta beberapa premis mula dibenar beroperasi pada waktu malam. – Gambar EPA, 19 Julai, 2021.

KERAJAAN Britain hari ini menamatkan perintah sekatan pandemik Covid-19 di England dengan menghapuskan semua penjarakan sosial, langkah yang dikecam oleh saintis dan pembangkang yang menyifatkannya sebagai langkah berbahaya yang tidak diketahui.

Bermula tengah malam, kelab malam dapat dibuka semula dan tempat lain dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh, sementara langkah pemakaian topeng dan bekerja di rumah dibatalkan.

Perdana Menteri Boris Johnson – yang menjalani kuarantin kendiri selepas menteri kesihatannya dijangkiti Covid-19 – mendesak orang ramai untuk tetap berhati-hati.

Beliau mempertahankan pembukaan semula yang digelar “hari pembebasan” oleh beberapa media – walaupun saintis bimbang apabila kadar jangkitan harian di Britain mencecah 50,000, hanya di belakang Indonesia dan Brazil.

“Jika kita tidak melakukannya sekarang, maka kita akan menamatkan perintah sekatan pada musim gugur, pada bulan musim sejuk, virus lebih mudah dijangkiti dalam musim sejuk,” kata perdana menteri dalam satu video.

Jonathan Ashworth, jurucakap kesihatan parti pembangkang Parti Buruh berkata kerajaan bersikap “melulu” dengan mengulangi kenyataan pakar yang mengatakan pembukaan semula adalah membahayakan kesihatan global.

“Kami menentang pembukaan tanpa tindakan pencegahan,” kata Ashworth kepada televisyen BBC, mengkritik secara khusus rancangan kerajaan mengenai pemakaian topeng muka.

Selepas kejayaan program vaksinasi yang kini menawarkan sekurang-kurangnya satu dos untuk setiap orang dewasa di Britain – kerajaan berkata sebarang risiko terhadap rawatan di hospital dapat diatasi.

Tetapi professor Neil Ferguson dari Imperial College London memberi amaran bahawa Britain akan berdepan 100,000 kes sehari susulan varian Delta Covid-19 yang tidak terkawal. – AFP, 19 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen