Sekatan pergerakan bendung Covid-19 dua minggu di selatan Vietnam mulai esok


Vietnam menguatkuasa sekatan pergerakan selama 14 hari selepas berlaku lonjakan kes Covid-19. – Gambar AFP, 18 Julai, 2021.

VIETNAM melaksanakan perintah sekatan pergerakan 14 hari di seluruh wilayah selatan republik itu bermula tengah malam ini selepas kes baharu jangkitan Covid-19 mencecah lebih 3,000 sehari untuk tiga hari berturut-turut minggu ini, lapor media.

Jangkitan harian tertinggi juga direkodkan sebanyak Vietnam 3,379 kes pada Khamis, sejak pandemik kembali menular dengan lebih berleluasa sejak hujung April lalu selepas berbulan-bulan tiada kes baharu.

“Keadaan semakin serius dengan kadar penularan yang tinggi terutama melibatkan varian Delta yang bahaya.

“Kita perlu utamakan kesihatan dan keselamatan rakyat,” kata Perdana Menteri Pham Minh Chinh, seperti dipetik Associated Press.

Sekatan mulai tengah malam ini melibatkan daerah Lembah Mekong dan Ho Chi Minh City.

Ho Chi Minh City yang juga pusat ekonomi dan kewangan Vietnam mempunyai lebih 35 juta penduduk, hampir satu pertiga daripada seluruh penduduk negara itu.

Bandar raya itu yang juga titik panas penularan dengan lebih 2,000 kes sehari sudah mengenakan sekatan penuh seminggu lalu.

Sekatan ini antara lain melarang sebarang bentuk perhimpunan melibatkan lebih dua orang di tempat umum kecuali di pejabat kerajaan, hospital dan beberapa perkhidmatan perlu.

Orang ramai juga hanya dibenarkan keluar rumah untuk urusan penting termasuk mendapatkan makanan dan perubatan.

Larangan operasi juga dikenakan ke atas sebahagian besar perkhidmatan pengangkutan awam. – 18 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen