Menteri Indonesia minta maaf jika sekatan bendung Covid-19 longgar


Salah seorang badut dari kumpulan Aku Badut Indonesia menunjukkan plakad mengajak orang ramai memakai pelitup muka ketika republik itu berhadapan kes tinggi Covid-19 disebabkan varian Delta. – Gambar EPA, 18 Julai, 2021.

MENTERI kabinet Joko Widodo meminta maaf kepada rakyat Indonesia atas sekatan pergerakan yang masih longgar sehingga menyebabkan penularan Covid-19 varian baharu, lapor media di republik.

Semalam, Indonesia mengesan 51,952 lagi kes baharu Covid-19 sementara 1,092 meninggal dunia.

Menteri penyelaras pemberlakuan pembatasan kegiatan masyarakat (PPKM) Jawa-Bali Luhut Binsar Pandjaitan berjanji pihak berkuasa akan terus bekerja keras mengurangkan penularan Covid-19 melibatkan varian Delta.

“Sebagai koordinator PPKM darurat Jawa-Bali, dari lubuk hati yang paling dalam saya ingin meminta maaf kepada seluruh rakyat Indonesia jika dalam penanganan PPKM Jawa-Bali ini masih belum maksimum,” katanya, seperti dipetik Kompas.

Jelas Luhut, pihaknya sedang menilai keperluan sekatan pergerakan sedia ada disambung.

“Kami akan laporkan kepada Bapak Presiden (Jokowi). Saya kira dalam dua, tiga hari ke depan kita juga akan mengumumkan secara resmi,” tambahnya, yang juga menteri penyelaras bidang maritim dan pelaburan.

Pada 3 Julai, Jokowi mengumumkan sekatan pergerakan darurat khusus bagi Jawa dan Bali berkuat kuasa sehingga 20 Julai.

Sekatan itu antara lain menutup perkhidmatan bukan perlu yang diwajibkan bekerja 100% dari rumah, sementara sektor perlu dibolehkan bekerja 50% di pejabat.

Waktu perniagaan pasar raya, pasar tradisional serta kedai serbaneka dihadkan sehingga 8 malam dengan kebenaran hanya untuk 50% pelanggan.

Semua pusat membeli belah bagaimanapun ditutup manakala restoran dan warung tidak menerima makan di tempat.

Indonesia minggu ini merekodkan kes harian tertinggi sebanyak 56,757 dan mengatasi Brazil untuk jadi negara paling teruk terjejas pandemik di dunia. 

Jangkitan Covid-19 di Indonesia sebelum itu mencecah lebih 40,000 untuk lima hari berturut-turut minggu sebelumnya. Ia adalah peningkatan mendadak daripada kurang 10,000 sebulan lalu.

Media melaporkan kadar vaksinasi di Indonesia antara yang terendah di dunia dengan 6% daripada 270 juta penduduk sudah disuntik vaksin.

Pihak berkuasa kesihatan dunia kini memberi amaran Asia Tenggara sedang menjadi pusat krisis Covid-19 susulan trend peningkatan kematian di rantau ini sejak beberapa minggu lalu. – 18 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen