Operasi Lonjakan Kapasiti patut merangkumi Negeri Sembilan, kata Loke


Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke berkata Negeri Sembilan perlu dimasukkan dalam Operasi Lonjakan Kapasiti untuk mempercepatkan program imunisasi di negeri berkenaan susulan kes harian Covid-19 yang tinggi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Julai, 2021.

OPERASI Lonjakan Kapasiti sepatutnya memasukkan Negeri Sembilan kerana kes jangkitan Covid-19 yang tinggi di negeri itu, kata Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke.

Loke berkata dalam tempoh lima hari lalu, kes harian Covid-19 di negeri itu mencatatkan angka lebih 1,000, menambah langkah lebih agresif untuk menghentikan kes daripada terus meningkat.

“Saya hubungi menteri penyelaras vaksin, Khairy Jamaluddin untuk memasukkan Negeri Sembilan dalam Operasi Lonjakan Kapasiti susulan eks di negeri ini meningkat dan trendnya membimbangkan.

“Selain Selangor dan Kuala Lumpur mencatatkan kes harian yang tinggi, Negeri Sembilan ialah negeri ketiga dengan kes harian Covid-19 tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Operasi Lonjakan Kapasiti bermatlamat untuk mempercepatkan program imunisasi di Lembah Klang.

Penduduk di Kuala Lumpur dan Selangor akan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 menjelang 1 Ogos.

Bekas menteri pengangkutan itu menggesa Khairy membenarkan penduduk warga emas di Negeri Sembilan mendapatkan vaksin dengan cara walk in seperti di Lembah Klang.

“Sebagai ahli Parlimen Rembau, saya fikir beliau sendiri faham situasi di Negeri Sembilan.

“Saya yakin kerajaan negeri akan memberikan kerjasama dalam program ini.

“Saya juga minta menteri membenarkan individu atas umur 60 tahun mendapatkan vaksin secara walk ini, seperti dilaksanakan di Lembah Klang,” katanya.

Loke berkata integrasi operasi imunisasi di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan akan dapat membantu mengawal situasi Covid-19 di negara ini. – 18 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen