NAJIB Razak mengecam kerajaan kerana gagal sediakan kontena mayat tambahan bagi menempatkan mayat pesakit Covid-19.
Beliau berkata hospital tidak patut minta tolong dapatkan kontena mayat tambahan daripada orang ramai bagi menangani mayat mangsa Covid-19 yang semakin meningkat.
“Nak simpan mayat pun kerajaan gagal tunaikan tanggungjawab.
“Tak faham kenapa kerajaan tidak dapat luluskan peruntukan bagi kontena mayat tambahan,” kata bekas perdana menteri itu di Facebook.
Tambahnya hospital awam berada di bawah tanggungjawab Putrajaya, oleh itu kerajaan gagal jika hospital awam terpaksa minta bantuan orang ramai dapatkan kontena mayat tambahan.
“Jumlah kematian yang tinggi adalah satu kegagalan kerajaan,” tambahnya.
Ahli Parlimen Pekan itu juga menggesa kerajaan jelaskan bagaimana ia membelanjakan wang untuk kawal pandemik.
Najib merujuk kepada laporan berita seorang ahli pergiagaan yang menyumbang kontena mayat kepada Hospital Selayang bagi menyimpan mayat pesakit Covid-19.
Hospital tersebut sebelum ini meminta bantuan mendapatkan kontena tambahan setelah tidak dapat menampung mayat yang terlalu banyak.
N Thirumurthi, 54, dari Shah Alam, berkata beliau menyumbang sebuah kontena berukuran 40 kaki bernilai RM34,000 untuk dijadikan bilik mayat.
Hospital awam lain di Lembah Klang juga telah meminta pertolongan orang awam bagi tujuan sama selain untuk mendapatkan barang keperluan lain untuk menangani jumlah besar pesakit Covid-19.
Najib juga menyerang Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kerana tidak sensitif dengan kematian Covid-19.
“Nyawa terkorban setiap hari menjadi sekadar satu angka saja bagi kerajaan,” katanya.
Beliau merujuk satu klip video di mana perdana menteri memberitahu para petugas barisan hadapan cara mempercepatkan proses pengebumian, menggunakan jentolak untuk gali dan kambus kubur, bukannya menggunakan cangkul.
Sudah sekian lama Najib tidak sependapat dengan cara kerajaan menangani pandemik.
Minggu lepas beliau mengkritik Putrajaya kerana tidak bersedia menangani peningkatan penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) untuk pesakit Covid-19.
Wad ICU di hospital awam berada pada tahap kritikal berikutan peningkatan kes harian Covid-19 yang serius.
Semalam Malaysia melaporkan jumlah kematian Covid-19 sebanyak 138, menjadikan jumlah keseluruhan maut kepada 6,866.
Terdapat 908 pesakit dirawat di ICU, dengan 425 memerlukan alat bantuan pernafasan.
Kini negara mempunyai 119,814 kes aktif Covid-19. – 18 Julai, 2021.
Komen