Walau negara pulih, pengusaha pelancongan tetap bergelut


Diyana Ibrahim

Pengusaha pelancong di Terengganu dijangka akan kekal bergelut walaupun negara sudah beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara kerana negeri itu akan berhadapan musim tengkujuh pada akhir tahun, kata Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur Hafiz Hazin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 19 Julai, 2021.

PENGUSAHA pelancong di Terengganu dijangka tetap bergelut walau negara berjaya pulih ke Fasa 4 pada hujung tahun ini, kata badan promosi pelancongan.

Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur Hafiz Hazin memberitahu The Malaysian Insight, jangkaan itu memandangkan Terengganu akan menghadapi musim tengkujuh pada akhir tahun.

“Kita jangka pelancongan di Terengganu tak akan dapat pulih segera memandangkan sektor itu memang ditutup pada hujung tahun kerana musim tengkujuh. Jadi mereka akan terus bergelut.”

Fasa 4 pelan pemulihan nasional itu dijangka pada November atau Disember dengan kesemua sektor ekonomi dan kebenaran rentas negeri, pelancongan dan aktiviti sosial dibenarkan.

Namun ia hanya dapat dicapai dengan syarat kes Covid-19 kurang dari 500 setiap hari dan 60% penduduk Malaysia menerima vaksin lengkap.

Negeri yang memenuhi kriteria itu boleh melonggarkan kawalan dengan syarat kes Covid-19 turun manakala jumlah penerima vaksin meningkat dan sistem kesihatan tidak lagi kritikal.

Salah satu tarikan pelancongan di Terengganu, Kampung Cina Kuala Terengganu yang dahulunya meriah kini lengang ketika Perintah Kawalan Pergerakan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 18 Julai, 2021.

Sehingga semalam, Terengganu masih lagi menangani lebih 12,200 kes atau kira-kira 1.4% daripada keseluruhan kira-kira 881,00 kes dalam negara.

Kesan kawalan pergerakan itu menyebabkan jumlah pengunjung tempatan merosot kepada hanya 7,420 orang tahun lalu berbanding 14.2 juta sebelum pandemik melanda pada tahun 2019.

Bagi tahun 2021, Jabatan Perangkaan Malaysia Terengganu masih belum mendapat data terkini jumlah pelancong tempatan dan kerugian dialami dalam sektor itu.

Namun beberapa pengusaha memberitahu The Malaysian Insight, keadaan itu sudah memaksa ramai menutup perniagaan dan tidak akan dapat bertahan sehingga akhir tahun.

Kedatangan pelancong tempatan itu menjadi harapan mereka, seperti pengusaha rumah inap Tengku Aswadi Tengku Ibrahim berkata yang beroperasi semula selepas musim tengkujuh pada Mac.

Tengku Aswadi, 44, pengusaha rumah desa di Pulau Redang terpaksa memberhentikan 15 orang pekerja kerana tidak mampu untuk membayar selain dibebani dengan kos penyelenggaran. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 18 Julai, 2021.

Tengku Aswadi, 44, rumah desa di Pulau Redang itu dapat bertahan waktu itu dengan bergantung kepada pelancong tempatan memandangkan rentas daerah masih dibenarkan ketika itu.

Beliau yakin larangan rentas negeri itu tidak lama dan tidak teragak-agak mengeluarkan modal sebesar RM40,000 bagi memulakan operasi perniagaannya.

Namun harapannya hancur apabila kerajaan mengumumkan pelaksaaan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh pada Mei.

“Bila diumumkan PKP penuh saya terduduk sebab saya dah keluarkan modal yang besar untuk mulakan operasi sebab untuk perniagaan di pulau memang memakan kos yang mahal.

“Kalau ikutkan nak dapat modal balik pun tak dapat sebab operasi sebulan saja iaitu Mac, April sudah bulan puasa dan Mei terus kita kena PKP,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insight.

Keluh Tengku Aswadi lagi, ia turut menjejaskan rangkaian perniagaannya yang lain seperti restoran dan perkhidmatan bot.

Disebabkan itu, beliau terpaksa memberhentikan 15 orang pekerja kerana tidak mampu untuk membayar selain dibebani dengan kos penyelenggaran sebanyak RM2,000 sebulan.

“Itu belum lagi kerugian yang saya terpaksa pulangkan semula wang pendahaluan akibat tempahan dibatalkan kerana PKP. Memang selama ini kita bertahan menggunakan duit simpanan.”

Keadaan itu turut memaksa Tengku Aswadi yang menjalankan perniagaan sejak 10 tahun lepas menjual sebuah bot miliknya untuk menampung kos kerugiaan.

Pemilik hotel butik Suite 18, Erik Lee (kiri) berkata, kadar penginapan di hotelnya kini merosot kepada kira-kira 50% berbanding kadar 75% hingga ke 80% sebelum pandemik. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 18 Julai, 2021.

Seorang pemilik hotel butik, Erik Lee pula berkata, kadar penginapan di hotelnya kini merosot kepada kira-kira 50% berbanding kadar 75% hingga ke 80% sebelum pandemik.

Pemilik butik Suite 18 itu berkata, biarpun “nyawa-nyawa ikan”, perniagaannya masih lagi boleh bertahan dengan langganan pekerja minyak dan gas yang menjalani kuarantin.

Walau menerima bantuan sebagai perusahaan kecil dan melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), beliau berkata ia masih belum dapat menampung kerugian pelaksanaan PKP berterusan.

“Kita rasa kalau ada perniagaan yang boleh bertahan sampai hujung tahun ini memang kira hebatlah sebab kita jangkakan situasi ini akan berlarutan sampai hujung tahun.

“Memang tahun ini jangan kata untung, memang tak dapat. Jadi apa saja cara yang boleh buat kita bertahan kita akan buat sekurang-kurangnya boleh tampung kos operasi dan gaji pekerja.

“Apa yang kita buat ini hanya untuk bertahan saja,” katanya yang telah membuka operasi hotel butik di kawasan tarikan Kampung Cina itu sejak 2016.

Pasar Payang 2 di Kuala Terengganu merupakan hab utama penjualan produk kraf seperti batik dan songket ditutup di bawah Perintah Kawalan Pergerakan.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 18 Julai, 2021.

Menurut Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Terengganu, 36 hotel anggotanya di negeri itu masih bertahan kerana dapat bergantung kepada pekerja minyak dan gas.

Pengerusinya Suaibah Harun yang juga pengurus besar Primula Beach Hotel berkata biarpun tiada hotel ditutup namun perniagaan mereka terus merudum.

“Keadaan kita hanya cukup-cukup makan saja. Walaupun memang kita terima pekerja minyak gas namun perniagaan terus terjejas.

“Kebanyakan hotel pun terpaksa mengurangkan harga bilik yang menjadi salah satu faktor  kita rugi,” katanya.

Beliau menjangka, hotel di negeri itu berisiko gulung tikar jika keadaan tersebut berterusan

“Biarpun kita dapat bergantung kepada pekerja minyak dan gas, tapi kalau keadaan berterusan saya jangka memang hotel boleh gulung tikar.

“Sebab itu kalau boleh kita minta diberi kebenaran untuk dine-in atau rentas daerah memandangkan kes Covid-19 sudah turun dua digit.

“Bagi saya jika dibenarkan ia akan banyak membantu pengusaha hotel seperti kami untuk terus bertahan,” katanya. – 19 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen