Derma kilat Projek Bangsa Malaysia kumpul lebih RM100,000


Diyana Ibrahim

PROJEK Bangsa Malaysia berjaya mengumpul lebih RM100,000 melalui program derma kilatnya yang bertujuan mengumpul dana dan diberikan kepada badan bukan kerajaan (NGO) untuk diagihkan kepada golongan terkesan akibat pandemik Covid-19.

Penyelarasnya, Amirul Ikman Azman berkata jkutipan RM106,694 bukanlah jumlah rasmi kerana program itu masih berterusan dan masih belum diputuskan bila akan tamat.

“Bagaimanapun kita sangat bangga dengan pancapaian hari ini. Ia inisiatif yang bagus kerana dalam keadaan pandemik sekarang program itu menunjukkan makna soladariti rakyat Malaysia dan kesatuan yang kita ada,” katanya.

Program derma kilat itu dilancarkan hari ini disiarkan secara langsung di Facebook selama enam jam bermula dari 11 pagi tadi.

Ia menampilkan tetamu dari pelbagai latar belakang seperti dari kumpulan anak seni Altimet, Bront Palarae, Naim Daniel, Douglas LIm, selain atlet sukan negara, tokoh perniagaan, aktivis, dan para penggerak masyarakat.

Projek Bangsa Malaysia mendapat perhatian selepas ia menerbitkan video berkisar petugas barisan hadapan yang bertajuk “Frontliners Reveal Truth About the Covid-19 Crisis in Klang Valley Hospitals”.

Video itu menjadi tular dan mendapat tontonan lebih 615,000 sejak ia dimuat naik di laman Youtube pada 12 Julai lalu.

Amirul berkata program itu juga dapat membuka mata rakyat yang kuasa perubahan ada di tangan mereka dan mampu menentukan masa depan negara.

“Ia juga membuktikan tiada apa yang mustahil. Rakyat mempunya kuasa mengubah dan menentukan masa depan Malaysia,” katanya.

Amirul berkata idea datang semasa mereka bersama Ideas Malaysia membuat kolabrasi projek kutipan dana hospital yang mendedahkan realiti dialami barisan hadapan dan sistem kesihatan negara.

“Kami mahu buat sesuatu selain dana hospital yang kebetulan serentak dengan kempen bendera putih, bendera hitam dan kami rasa ini masanya untuk lakukan sesuatu, mainkan peranan untuk membantu,” katanya. – 17 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen