SISTEM percukaian perlu dirombak secara menyeluruh untuk membantu negara menghadapi krisis ekonomi kesan pandemik Covid-19, kata tokoh perbankan Nazir Razak.
Jelasnya, ia bagi membolehkan golongan kaya yang terus meraih keuntungan besar sewaktu krisis ini dapat dikenakan cukai lebih besar seperti cukai durian runtuh
Beliau menyokong pembaharuan sistem percukaian itu kerana senario pada hari ini menyaksikan jurang antara kaya dan miskin semakin melebar, katanya.
Katanya, belia juga tertanya-tanya sejauh mana golongan kaya itu mampu berkorban untuk menangani krisis yang dihadapi rakyat pada waktu ini.
“Saya diasak banyak kali kerana cadangan cukai durian runtuh ini. Saya katakan kita perlu sistem rombakan percukaian secara meluruh supaya kita boleh mengagihkan kepada yang memerlukan
“Saya minta maaf, tapi orang kaya di Malaysia yang melabur dalam pasaran kewangan patut tampil ke hadapan dan buat perlu bayar cukai lebih dalam waktu krisis ini,” katanya.
Nazir berkata demikian sewaktu tampil sebagai tetamu dalam program derma kilat rakyat yang disiar secara langsung di Facebook selama enam jam petang ini.
Beliau mengulas cadangan dibangkitkan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad supaya cukai durian runtuh diperkenal antara lain untuk membantu menambah pendapatan kerajaan.
Dr Mahathir sewaktu mencadangkan perkara itu Rabu lalu berkata, pihak yang meraih keuntungan besar ketika krisis sekarang perlu membantu kerajaan untuk menolong golongan yang terjejas.
Menurutnya, golongan yang tetap kaya dan tidak meraih sebarang kerugian sewaktu pandemik ini termasuk syarikat pengeluar sarung tangan dan bank.
Mengulas topik sama, seorang lagi tokoh korporat Tony Fernandes pula menyebut mengenai peluang melaksana cukai barangan dan perkhidmatan (GST) untuk tujuan sama.
Ketua eksekutif Kumpulan Air Aisia itu berkata GST juga cukai kekayaan dan boleh memberi kesan positif jika dikenakan pada sektor yang sebetulnya.
Beliau berkata biarpun bersetuju Malaysia perlu mencari sumber pendapatan dengan mengenakan cukai namun ia harus diguna dengan cara yang betul.
“Kerajaan kena pastikan duit cukai itu digunakan dengan betul. Ia sangat penting.
Memang naikkan cukai itu bagus tapi ia harus digunakan dengan produktif dan boleh menyumbang kebaikan dan manfaat kepada semua rakyat.
“Jika tidak, tiada gunanya mengutip cukai,” katanya.
Program derma kilat rakyat yang disiar secara langsung di Facebook selama enam jam anjuran NGO Projek Bangsa Malaysia itu berjaya meraih RM100,000 pada akhir acara tersebut petang ini. – 17 Julai, 2021.
Komen