Bank makanan, bendera putih bukan petunjuk negara gagal, kata ahli sosiologi


Alfian Z.M. Tahir

Wabak Covid-19 yang melanda Malaysia mengheret rakyatnya ke masa sukar, antara terburuk dalam sejarah negara selepas Kemerdekaan 1957. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Julai, 2021.

REALITI kehidupan yang menyaksikan lebih banyak bank makanan ditubuhkan dan ramai rakyat Malaysia mengangkat bendera putih untuk bantuan segera bukanlah petunjuk negara gagal.  

Tetapi, ia bukti kekurangan usaha dan kepincangan penyelarasan kerajaan bagi memastikan bantuan diedarkan secara saksama ketika pandemik Covid-19, kata ahli sosiologi Prof Dr Sharifah Munirah Alatas.

“Waktu semua susah, orang terperuk di rumah, tak boleh bekerja, dan simpanan mereka semakin berkurang. Realiti inilah yang mungkin menyebabkan ada orang memilih mengibarkan bendera putih untuk meminta bantuan jiran. Mereka tak malu untuk minta bantuan orang yang memang murah hatinya. Dan rakyat Malaysia menyakinkan mereka (tidak mengapa) untuk minta bantuan.

“Kemudian ada juga yang tak mengibarkan bendera putih, mungkin kerana malu, walaupun memerlukan bantuan. Disebabkan rasa (mahu jaga) maruah, mereka lebih selesa pergi ke bank makanan untuk bantuan percuma,” kata ahli akademik dari Universiti Kebangsaan Malaysia itu kepada The Malaysian Insight.

Baru-baru ini Malaysia disifatkan sebagai menuju ke arah negara gagal oleh penulis pojok Bloomberg, tetapi gambaran itu dibantah oleh ramai ahli ekonomi dan penyelidik.

Beberapa video berlegar di ruang media sosial yang menunjukkan orang ramai berebut-rebut malah ada yang mengambil semua makanan tersedia di bank makanan turut mengundang kecaman awam.

Sharifah berkata kejadian sebegitu bukanlah petunjuk negara di ambang kegagalan, dan walaupun kelakuan sebegitu tidak boleh diterima, masyarakat juga tidak berhak mencemarkan imej pelaku tanpa mengetahui cerita sebenar.

Kepincangan penyelarasan edaran bantuan kerajaan jadi punca berlakunya keciciran rakyat daripada mendapatkan bantuan yang diperlukan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Julai, 2021.

Katanya, sentiasa akan ada orang yang mengambil kesempatan dan tidak teragak-agak menerima barangan percuma.

“Jadi jangan tergesa-gesa mengecam rakyat Malaysia atau kerajaan sampai menggelarkan negara kita sebagai negara gagal.

“Kita tak boleh buat kesimpulan itu kecuali kita sudah buat penilaian dengan tepat dan mendapati institusi negara sudah runtuh sepenuhnya. Itu tidak berlaku.”

Apa yang dibuktikan situasi semasa adalah kepincangan penyelarasan dan kurangnya usaha bersepadu kerajaan dan wakil rakyat untuk berganding bahu dengan pertubuhan masyarakat sivil bagi menyelesaikan krisis kesihatan dan ekonomi yang membebankan rakyat sekarang.

“Sekarang kita nampaknya mempunyai kepimpinan tak peduli, tak ikhlas dan pentingkan diri sendiri, hanya bimbangkan dengan isu parti politik mana akan berkuasa atau siapa yang akan jadi perdana menteri,” kata pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusian UKM itu.

Ketika rakyat berebut makanan kerana tidak cukup makan, kepimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin masih dibelenggu soal keabsahan pentadbiran. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Julai, 2021.

Tulisan pojok Bloomberg itu juga menggambarkan keterdesakan dialami golongan miskin di Malaysia ketika kepimpinan dan parti politik di negara ini terus bertelegah sesama sendiri.

Seorang lagi ahli sosiologi, Prof Dr Denison Jayasooria pula berkata bantuan sepatutnya boleh diedarkan dengan lebih saksama kepada mereka yang memerlukan sekiranya proses penyelarasan dilaksana dengan baik.

Denison menjelaskan walaupun ramai orang terdesak kerana sekatan pergerakan penuh yang terus berlanjutan, mereka perlu dilayan dengan bermaruah.

“Kita perlu berbelaskasihan kepada semua kumpulan memerlukan tanpa mengira kaum, agama, gender dan umur. Rakyat Malaysia memang pemurah tetapi pengedaran makanan perlu diuruskan dengan baik dan mempunyai hala tuju yang jelas.

“Kita nampak ramai ahli Parlimen pergi ke flat untuk beri bungkusan makanan, tetapi jika pengedaran tak diselia, ada orang akan terkejar-kejar hendakkan bantuan sebab bimbang orang lebih awal akan ambil semua.

“Kita perlu layan rakyat Malaysia dengan bermaruah dan menghormati mereka,  (dan ini boleh dilakukan) dengan menyediakan garis panduan tentang berapa banyak barangan seseorang boleh ambil pada satu-satu ketika,” tambahnya.

Pertambahan bank makanan untuk membantu mereka yang terjejas kerana pandemik Covid-19 di negara ini disaksikan seluruh dunia sehingga ada yang mendakwa Malaysia diambang kegagalan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Julai, 2021.

Diminta mengulas video tular orang ramai berebut-rebut barangan di bank makanan, Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng berkata rakyat tidak boleh dipersalahkan.

“Mereka lapar dan mereka perlukan makanan. Bila anda dan keluarga dalam situasi sebegitu, anda mungkin bertindak tanpa berfikir secara rasional.

“Salah kerajaan yang jelas gagal untuk memastikan rakyat mempunyai makanan mencukupi dan memastikan ekonomi bergerak,” kata Lim yang juga menubuhkan bank makanan di kawasan perwakilannya.

Wakil rakyat DAP itu menambah yang beliau sentiasa memastikan situasi di bank makanannya berada dalam kawalan.

“Kami upah dua anggota Rela untuk memastikan orang yang datang mematuhi SOP, terutama sekali penjarakan sosial. Kami juga memastikan satu keluarga hanya bawa pulang tiga barangan.

“Ini untuk memastikan orang lain pun boleh bawa pulang makanan yang ada. Kami beritahu jika mereka perlu lebih barang makanan, mereka kena datang lagi esok,” katanya.

Seorang sukarelawan bank makanan di Klang berkata kebanyakan orang yang datang untuk mendapatkan bantuan adalah jujur dan hanya mengambil keperluan mereka.

Bagi mereka yang mementingkan diri sendiri, sukarelawan yang tidak mahu dinamakan itu berkata, kebanyakannya memang mempunyai masalah sikap dan akan bergaduh atau buat onar di bank makanan jika permintaan mereka tidak dipenuhi. – 18 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen