Kesilapan daftar pengundi, Pakatan mahu jumpa SPR


Gan Pei Ling

Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad (tengah) bercakap pada sidang media di Petaling Jaya hari ini bersama Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Presiden Amanah Mohamad Sabu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 16 Januari, 2018.

PAKATAN Harapan (PH) mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menjelaskan percanggahan yang dikesan gabungan pembangkang itu dalam pendaftar pengundi, kata Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad.

Kami mendapati ada banyak kesilapan dalam senarai itu, termasuk 900 pengundi dengan nama sama, 3.9 juta pengundi berdaftar tanpa alamat penuh, dan rumah dengan 11 hingga 15 penghuni.

“Kami mahu memastikan senarai yang kami periksa, sama dengan versi terkini SPR,” kata Dr Mahathir pada sidang media selepas mesyuarat PH di Petaling Jaya, hari in.

Beliau berkata parti komponen PH masih belum mendapat salinan daftar pengundi terkini daripada SPRM.

“Kami dimaklumkan bahawa daftar pengundi terkini tidak boleh didedahkan kepada parti politik. Ini sesuatu yang luar kebiasaan,” katanya.

Pengerusi Bersatu itu bersama Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, berkata PH juga berhasrat untuk menjemput pemerhati bebas daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan Komanwel untuk memantau Pilihan Raya Umum ke-14.

Beliau berkata PH akan menulis surat rasmi kepada Putrajaya bagi memohon Kementerian Luar menyampaikan jemputan kepada pemerhati luar.

Dalam ucapannya di Setiawangsa pada Ahad lalu, Dr Mahathir berkata PH menemui 900 “Fatimah Ismail”, lahir pada tarikh sama, didaftarkan di beberapa pusat mengundi di seluruh negara.

Selain aduan tentang kesilapan dalam daftar pengundi, parti politik pembangkang dan badan pemantau pilihan raya Bersih 2.0 masih terus membangkitkan bantahan terhadap sempadan pilihan raya dirangka oleh SPR yang berpihak kepada Barisan Nasional. – 16 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen