PEJUANG tidak percaya Muhyiddin Yassin dapat melakukan apa-apa perubahan besar melalui Majlis Pemulihan Negara (MPN) selepas gagal menangani pandemik sebagai perdana menteri.
Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir berkata, MPN tidak akan berjaya kerana perdana menteri dari kerajaan gagal itu masih mengetuai badan tersebut.
Beliau membangkitkan bahawa Muhyiddin mengetuai kerajaan dengan sumber dan kuasa yang amat besar sejak mengambil alih kerajaan namun masih gagal.
Katanya, Muhyiddin antara lain dapat menggunakan peruntukan belanjawan paling besar dalam sejarah dan menggunakan undang-undang darurat.
Bekas menteri besar Kedah itu menjelaskan, ia membolehkan kerajaan pimpinan Muhyiddin “bebas berbuat sesuka hati tanpa diganggu oleh Parlimen dan perlembagaan”.
“Namun beliau masih gagal untuk menyekat penularan wabak ini, dengan angka jangkitan dan kematian terus meningkat, Rakyat semakin tertekan sehingga kes bunuh diri juga bertambah.
“Bagaimana Rakyat boleh berharap satu perubahan besar akan berlaku sekiranya pemimpin yang terbukti gagal seperti Mahiaddin mengepalai MPN?
“MPN hanya akan berjaya jika tidak melibatkan mereka dari kerajaan gagal ini,” katanya.

Menurutnya lagi, MPN yang diumumkan Muhyiddin pada malam tadi juga amat berbeza dengan saranan yang dikemukakan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Jelasnya, cadangan Dr Mahathir dan juga dari parti Pejuang yang dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong pada bulan lalu bertujuan mengatasi isu yang masih tidak dapat ditangani kerajaan.
“Demi tujuan itu, cadangan asal adalah majlis ini diberi kuasa autonomi menggantikan kuasa eksekutif Kabinet dan bertanggungjawab terus kepada Yang di-Pertuan Agong serta mendapat pandangan atau cadangan dari Parlimen.
“Maka, apabila Muhyiddin dinamakan sebagai pengerusi MPN yang diumumkan oleh kerajaan, tujuan asal cadangan ini menjadi tidak lagi relevan,” katanya.
MPN pada asalnya dicadangkan Dr Mahathir dan Pejuang sebagai satu badan seperti Majlis Gerakan Negara yang berkuatkuasa semasa darurat ekoran rusuhan kaum 1969.
Dr Mahathir menjelaskan majlis itu boleh mengemukakan cadangan penyelesaian kepada krisis ekonomi, politik, sosial dan kesihatan akibat penularan Covid-19.

Menurutnya, kuasa darurat yang dipakai oleh kerajaan Muhyiddin sejak awal tahun gagal kerana kes jangkitan harian terus meningkat sementara pesakit Covid-19 semakin banyak meninggal dunia.
Beliau mencadangkan majlis itu akan memulihkan kemerosotan ekonomi dan kewangan serta masalah persekolahan.
Dari segi politik pula, beliau mencadangkan agar majlis itu akan membentangkan cadangannya kepada Parlimen dan Parlimen tidak akan mengusahakan untuk menghapuskan MPN.
Majlis itu juga tidak akan diletakkan di bawah kerajaan tetapi akan melaporkan secara langsung kepada Yang di-Pertuan Agong, katanya.
Ia antara lain akan dianggotai tidak lebih 20 orang termasuk pakar perubatan termasuk psikiatri, pakar pelaburan, penggerak sosial, tokoh perundangan dan tokoh politik, katanya.
Menteri bertanggungjawab ke atas Pelan Pemulihan Negara Tengku Zafrul Aziz kemudian mengumumkan penubuhan MPN pada malam tadi.
Katanya ia akan dipengerusikan Muhyiddin dan menggantikan jawatankuasa khas kabinet untuk melaksanakan pelan pemulihan keluar daripada pandemik Covid-19. – 17 Julai, 2021.
Komen