Bekas menteri kesihatan saran penerima Sinovac diberi dos tambahan


Bekas menteri kesihatan Dr S Subramaniam mencadangkan kerajaan beri dos tambahan atau booster kepada penerima vaksin Sinovac.– Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Julai, 2021.

KERAJAAN wajar mempertimbangkan pemberian dos tambahan atau booster kepada penerima vaksin Sinovac, kata bekas menteri kesihatan Dr S Subramaniam.

Cadangan itu susulan timbul kebimbangan berkenaan keberkesanan vaksin keluaran China itu, terutamanya lonjakan kes di seluruh dunia ketika ini membabitkan varian Delta lebih mudah tersebar.

“Analisis mendapati Sinovac hanya 65% berkesan terhadap jangkitan  simptomatik, berbanding Pfizer dan AstraZeneca masing-masing sebanyak 96% dan 92%. Bagaimananapun, Sinovac masih berkesan sebanyak 87% mencegah kemasukan ke hospital dan kematian.

“Data terkini menunjukkan Pfizer dan AstraZeneca memberi perlindungan yang baik terhadap rawatan di hospital dan kematian kepada mereka yang dijangkiti dengan varian Delta, tetapi tidak ada banyak data mengenai vaksin Sinovac dan pasukan saintis Sinovac telah mencadangkan dos ketiga mungkin diperlukan untuk meningkatkan keberkesanannya terhadap varian Delta,” katanya dalam catatan di Facebook.

Beberapa negara juga katanya mengkaji semula strategi vaksinasi mereka serta mempertimbangkan untuk mencampur vaksin dan memberi dos tambahan bagi mengatasi kekurangan kadar keberkesanan vaksin Sinovac.

“Meskipun saya menghormati sikap berhati-hati kerajaan untuk menunggu lebih banyak data sebelum mencapurkan vaksin, kerajaan wajar mempertimbangkan menambah dos Sinovac sebagai percubaan,” kata Subramaniam.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba pada Khamis berkata penggunaan vaksin Sinovac dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan dihentikan selepas bekalan habis, dan digantikan dengan vaksin Pfizer-BioNTech.

Dr Adham berkata penggunaan vaksin Pfizer di bawah program imunisasi akan dipertingkatkan selepas lebih 45 juta dos diperolehi.

Subramaniam seterusnya berkata, kerajaan perlu lebih proaktif dalam mendapatkan maklumat terkini sebagai panduan untuk menangani pandemik.

“Ini akan menambahkan lagi keyakinan kepada mereka yang sudah divaksin dengan Sinovac. Lebih-lebih lagi kebanyakan mereka tidak berpeluang memilih jenis vaksin yang diberikan kepada mereka,” katanya. – 17 Julai, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen