Bantu tempat kerja ‘kalis pandemik’, kata DAP


Tempat kerja "kalis pandemik" adalah sebahagian daripada langkah pemulihan dari pandemik Covid-19, kata wakil DAP yang mengadakan pertemuan dengan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Jun, 2021.

PUTRAJAYA perlu membuat pelaburan bagi membantu menjadikan tempat kerja dan asrama pekerja “kalis pandemik” sebagai sebahagian daripada langkah pemulihan dari pandemik Covid-19, kata wakil DAP yang mengadakan pertemuan dengan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz.

“Memandangkan kebanyakan perniagaan masih bergelut untuk bertahan hari ini, hampir mustahil untuk kita jangkakan mereka melabur dengan sendiri untuk menjadikan premis mereka “kalis pandemik”.

“Oleh itu, penting untuk kerajaan masuk campur untuk membantu bagi mengurangkan kemungkinan berlakunya penularan di masa hadapan yang akan memberikan impak negatif kepada keseluruhan ekonomi,” kata mereka dalam memo kepada Tengku Zafrul yang juga merupakan Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara.

Delegasi DAP, yang diwakili oleh setiausaha agung dan Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng, Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua dan Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar berjumpa dengan Zafrul pada Khamis.

Sehari sebelum itu, menteri kewangan mengadakan pertemuan dengan delegasi PKR.

DAP dalam memo yang dikongsi dengan media berkata bahawa Putrajaya perlu mempertimbangkan pelaburan bernilai RM15 bilion untuk kawasan kerja “kalis pandemik” dalam bentuk geran dan pinjaman mudah (soft loan) serta sesuai dengan insentif cukai yang berpadanan.

“Kerajaan perlu membantu mereka melabur dalam memastikan tempat kerja dan tempat tinggal pekerja kalis pandemik bagi meminimumkan kemungkinan jangkitan serta penularan di masa depan,” katanya. 

“Perkara ini selari dengan garis panduan pengudaraan yang baru diterbitkan oleh Kementerian Sumber Manusia, dengan SOP yang dikemaskini untuk memastikan terdapat kualiti udara dan pengudaraan yang memuaskan di ruangan dalaman bangunan, berserta dengan menggunakan ruangan terbuka di luar sebagai kawasan berisiko rendah dengan pelaksanaan penjarakan fizikal dan kawalan orang ramai,” menurut memo berkenaan.

Pengudaraan udara juga mesti menjadi sebahagian daripada penilaian risiko yang dilakukan pada operasi perniagaan, tambah DAP yang turut memaklumkan Covid-19 terutamanya varian Delta lebih mudah menular, dapat menyebar melalui jangkitan udara.

DAP juga bersetuju dengan cadangan wakil PKR bahawa tidak masuk akal mengklasifikasikan sektor ekonomi yang boleh beroperasi di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai penting berbanding tidak penting.

“Kita perlu beralih daripada perbezaan tanpa asas di antara sektor “penting” dan “tidak penting” apabila membezakan di antara sekatan pergerakan. Tidak masuk akal untuk kebanyakan sektor “tidak penting” yang berisiko rendah untuk ditutup, sedangkan banyak sektor “penting” yang berisiko tinggi dibiarkan beroperasi tanpa sebarang semakan garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP).

“Sebaliknya, semua industri perlu dinilai melalui SOP yang berasaskan sains dan data, untuk memastikan terdapat penilaian risiko secara awal bertepatan dengan risiko jangkitan yang membezakan secara jelas ruang tertutup dan ruang terbuka di luar.

“Sebuah kafe, sebagai contoh, mempunyai tahap risiko yang berbeza dengan sebuah pub atau kelab malam, dan tidak sepatutnya diklasifikasikan bersama sebagai sektor makanan dan minuman (F&B).

“Dengan adanya data pendaftaran masuk dan penjejakan MySejahtera, sektor dengan kadar jangkitan yang rendah patut dikenalpasti dan disusun untuk pembukaan semula,” menurut kenyataan berkenaan.

Antara cadangan lain yang dibuat oleh Zafrul adalah agar kerajaan melaksanakan insentif pengambilan pekerja selama dua tahun kepada majikan, meningkatkan perlindungan sosial bagi pekerja di ekonomi gig sektor informal dan memberi isi rumah kurang berkemampuan wang tunai bulanan dan bukannya bayaran berperingkat setiap beberapa bulan.

Di antara langkah-langkah penjagaan kesihatan yang dicadangkan, DAP meminta ujian berkala dan subsidi wajib di tempat kerja berdasarkan penilaian risiko.

Pihak itu berkata, ujian dan pengesanan perlu ditingkatkan walaupun vaksinasi dipertingkatkan.

“Ujian saringan boleh dijadikan lebih berkesan dengan mengadakan program ujian pencegahan berskala besar, terutamanya dengan menyasarkan populasi berkebarangkalian tinggi seperti asrama pekerja asing yang padat atau kawasan penduduk blok perumahan berkepadatan tinggi.

“Dana juga mesti diperuntukkan untuk membantu aktiviti ujian saringan dilaksanakan oleh entiti-entiti lain seperti kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, perniagaan dan juga organisasi masyarakat untuk memastikan keupayaan ujian saringan kita tidak terbatas dengan kemampuan Kementerian Kesihatan,” katanya. – 22 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen