ORANG ramai yang sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 Sinovac tertanya-tanya adakah keputusan Putrajaya menghentikan pemberian vaksin keluaran China itu kerana kadar keberkesanannya atau alasan lain yang disembunyikan.
Penerima vaksin menggesa kerajaan menyatakan sebab sebenar mengapa pada saat akhir umum tidak akan menggunakan lagi vaksin Sinovac dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan digantikan dengan vaksin Pfizer-BioNTech, seperi yang diumum Menteri Kesihatan Dr Adham Baba pada Khamis.
Dr Adham berkata penggunaan vaksin Pfizer di bawah program imunisasi akan dipertingkatkan selepas lebih 45 juta dos diperolehi.
Seorang penerima dari Kuala Lumpur, yang hanya mahu dikenali sebagai Riduan, berkata beliau tertanya-tanya adakah keputusan kerajaan itu ada kaitan dengan kadar keberkesanan vaksin Sinovac terhadap varian Delta yang mudah merebak.
“Adakah kerajaan cuba sembunyikan sesuatu dari kami?
“Adakah keputusan itu kerana mereka dapat tahu vaksin Sinovac tidak begitu berkesan melindungi penerima?
“Jika benar, kerajaan perlu beri penjelasan dan maklumkan sekiranya kami perlukan suntikan penggalak atau booster,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin pada sidang media semalam berkata keputusan kerajaan menghentikan pemberian vaksin Sinovac bukan disebabkan kadar keberkesanannya.
Keputusan itu diumum sehari selepas Jabatam Kesihatan Negeri Kelantan memaklumkan akan menamatkan pengagihan vaksin Sinovac di semua pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negeri pada akhir bulan ini dan mengantikannya dengan vaksin Pfizer.
Menurut Khairy, pemberhentian itu adalah kerana pembekalannya selesai lebih awal yang dijadual tamat pada November.
Kerajaan katanya, memutuskan untuk menggunakan vaksin Pfizer mulai bulan depan manakala stok simpanan Sinovac hanya dikhususkan untuk mereka yang mempunyai alahan terhadap vaksin lain. – 17 Julai, 2021.
Komen