SEBELUM ini vaksin palsu, kini sijil imunisasi palsu koronavirus pula ditawarkan untuk dijual di Mexico menyasarkan mereka yang mahu pergi ke negara-negara yang memerlukan bukti vaksinasi.
Pelanggan untuk sijil vaksinasi Covid-19 palsu biasanya adalah mereka yang mahu melakukan perjalanan tetapi belum divaksin sepenuhnya atau yang menerima vaksin tidak diiktiraf di negara yang mereka lawati, kata seorang penjual.
“Jika mereka menerima vaksin dari China, di sini kita tukar kepada Pfizer atau Sputnik V,” kata lelaki itu yang hanya mahu dikenali sebagai Cris.
Dia memberitahu, jumlah bayaran yang dikenakan adalah antara 1.100 hingga 2.000 peso Mexico.
“Dalam dua jam, anda akan dapat dokumen berkenaan,” tambahnya
Kementerian Kesihatan Mexico baru-baru ini mengumumkan bahawa mereka yang diberi vaksin dapat memuat turun sijil imunisasi secara percuma melalui laman web rasmi untuk digunakan ketika dalam perjalanan atau dalam situasi lain.
Daripada 126 juta penduduk di Mexico, kira-kira 21 juta penduduk sudah diberi vaksin sepenuhnya menggunakan suntikan Pfizer/BioNTech, AstraZeneca, Sinovac, Cansino, Sputnik V serta Johnson & Johnson.
Sijil rasmi mempunyai kod QR yang membolehkan sesiapa sahaja mengimbasnya ke laman web kerajaan yang mengesahkan pemegangnya diimunisasi sepenuhnya.
Sindiket pemalsuan sijil imunisasi juga menawarkan untuk merosakkan kod berkenaan, tetapi tidak jelas sama ada ia benar-benar berfungsi ataupun tidak.
Ini bukan aktiviti penipuan pertama berkaitan wabak di Mexico, di mana Pfizer sebelum ini berkata pada April, mereka mengesan ada vaksin palsu menggunakan jenama ini dijual.
Di Santo Domingo, ujian makmal palsu dengan hasil negatif Covid-19 juga dijual dengan harga sekitar $30.
Pemalsuan dokumen rasmi membawa hukuman penjara empat hingga lapan tahun di Mexico.
Negara itu juga mencatatkan jumlah kematian akibat Covid-19 lebih 235,000 kes, di mana ia merupakan negara keempat tertinggi di dunia. – AFP, 17 Julai, 2021.
Komen