Bandar Malaysia umum pemaju utama 14 Julai


The Malaysian Insight

Bandar Malaysia dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi dan peluang pekerjaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Mei, 2017.

PEMAJU utama Bandar Malaysia yang baharu akan diputuskan selewatnya pada 14 Julai dengan permintaan bagi cadangan (RFP) akan diterima sehingga 30 Jun, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Irwan Siregar Abdullah, hari ini.

Beliau berkata Putrajaya hanya mahukan pihak yang mempunyai pengalaman dalam bidang berkaitan dan rekod baik untuk membida projek pembangunan bernilai berbilion ringgit itu.

“Proses RFP yang akan bermula serta-merta, mengenakan kriteria ketat dan pihak berminat perlu mengemukakan pengalaman berkaitan, rekod baik, cepat menyiapkan projek, penciptaan kandungan dan kemampuan kewangan.

“Semua pihak berminat dijemput menyertai proses ini dengan syarat mereka memenuhi semua kriteria itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, kertas cadangan akan diterima sehingga 30 Jun, 2017 dengan keputusan akhir akan dibuat oleh pemilik tanah, TRX City Sdn Bhd dengan rundingan bersama Kementerian Kewangan pada 14 Julai.

TRX City ialah nama baharu bagi 1MDB Real Estate Sdn Bhd.

Irwan mengesahkan Bandar Malaysia kekal milik Kementerian Kewangan walaupun selepas pemaju utama diumumkan.

Perdana Menteri Najib Razak yang juga menteri kewangan hari ini mengumumkan Irwan sebagai pengerusi TRX City baharu dan akan mengendalikan semua perkara berkaitan Bandar Malaysia dan aset tanah 1MDB yang lain.

“Saya akan memastikan kami menyediakan pembangunan mapan dan menarik yang bakal mengubah landskap ibu kota kita dan memberi faedah kepada rakyat serta negara,” kata Irwan.

Irwan menggantikan presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy yang disingkirkan minggu lalu selepas perjanjian penjualan saham RM7.41 bilion dengan konsortium IWC-CREC dibatalkan kerana masalah bayaran walaupun selepas 10 kali tempoh lanjutan diberi.

Putrajaya sebelum ini berkata Bandar Malaysia dijangka menjadi bandar dalam bandar berkelas dunia dan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi dan peluang pekerjaan, termasuk Bandar Internet KL – hab utama Zon Perdagangan Bebas Digital.

Ia juga akan menjadi nadi pengangkutan Malaysia, apabila menghubungkan kereta api berkelajuan tinggi antara Kuala Lumpur dan Singapura, MRT, KTM Komuter, ERL dan 12 lebuh raya. – 17 Mei, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen