JUMLAH kes aktif Covid-19 meningkat kepada 114,053, paling tinggi sejak pandemik bermula, kerana Malaysia melaporkan banyak kes baharu berbanding kes yang sudah pulih dalam 24 jam terakhir, kata Ketua Pengarah kesihatan.
Dr Noor Hisham Abdullah berkata, hari ini Malaysia melaporkan 12,541 jangkitan baharu berbanding 6,742 kes yang sudah sembuh, sekali gus meningkatkan jumlah kes aktif.
Katanya, daripada jumlah kes baharu dilaporkan hari ini, 12,352 atau 98.5% kes adalah Kategori 1 dan 2.
Katanya, hanya 189 kes atau 1.5% daripadanya adalah dalam Kategori 3, 4 dan 5.
Kategori 1 bermaksud pesakit tidak ada gejala, Kategori 2 bermaksud pesakit ada gejala ringan, Kategori 3 adalah pesakit dengan radang paru-paru, Kategori 4 adalah pesakit dengan radang paru-paru yang memerlukan alat bantuan pernafasan manakala pesakit Kategori 5 adalah mereka yang berada dalam keadaan kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan melalui pengudaraan.
Sementara itu, Noor Hisham berkata kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan pesakit yang perlukan alat bantuan pernafasan meningkat setelah dua hari menunjukkan trend menurun.
Setakat hari ini, 896 pesakit dirawat di ICU, dengan 459 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
Selain itu, Noor Hisham juga berkata hari ini negara melaporkan 115 kematian, menjadikan jumlah maut keseluruhan seramai 6,728 orang.
Katanya, 11 angka korban bukan warganegara, jumlah selebihnya adalah warga tempatan.
Selain melaporkan kes jangkitan paling tinggi mengikut negeri, Selangor juga melaporkan jumlah kematian tertinggi hari ini dengan 53 kematian.
Negeri lain yang melaporkan kematian ialah Kuala Lumpur dengan 24 kematian, Johor dan Melaka (masing-masing 7 kematian), Pulau Pinang (5), Negeri Sembilan dan Kedah (masing-masing 4), Sabah dan Perak (masing-masing 3), Kelantan dan Terengganu (masing-masing 2), dan Labuan (1).
24 kematian adalah maut ketika sampai di hospital, dengan Selangor melaporkan 14, Kuala Lumpur (3), Pulau Pinang (2), dan Johor, Melaka, Sabah, Kelantan dan Terengganu (masing-masing 1).
69 kematian melibatkan lelaki dan 46 adalah wanita. – 16 Julai, 2021.
Komen