Kes baharu Covid-19 catat 12,541, kata Noor Hisham


Ravin Palanisamy

Selangor dan Kuala Lumpur terus melaporkan jumlah kes Covid-19 tertinggi dengan masing-masing 5,512 dan 1,542. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Julai, 2021.

MALAYSIA terus melaporkan lima digit kes harian Covid-19 dengan mencatat 12,541 kes dalam tempoh 24 jam lalu, kata Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.

Walaupun kes menurun sedikit hari ini, ia menjadi hari keempat berturut-turut melaporkan lebih 10,000 kes sehari, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 893,323, kurang 6,000 sebelum ia mencecah 900,000 kes.

Ketua pengarah kesihatan berkata Selangor terus menduduki tangga teratas dengan 5,512 kes, diikuti Negeri Sembilan (1,619 kes) dan Kuala Lumpur (1,542 kes).

Jumlah kes dilaporkan di Negeri Sembilan hari ini adalah yang tertinggi sejak bermulanya wabak, yang sebelum ini sebanyak 1,603.

Lembah Klang menyumbang 7,116 kes atau 57% daripada jumlah kes hari ini.

Sementara itu, negeri lain yang melaporkan kes baharu adalah Johor (609), Sabah (326), Sarawak (423), Pulau Pinang (376), Kelantan (225), Kedah (458), Perak (299), Melaka (575), Pahang (382), Terengganu (102).

Hanya tiga negeri mencatatkan dua digit kes baharu atau lebih rendah, iaitu Putrajaya dengan 62 kes, Labuan (24) dan Perlis (7).

Sementara itu, sebanyak 460,158 dos vaksin diberikan semalam di bawah program imunisasi kebangsaan.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) berkata 304,807 orang sudah menerima dos pertama mereka, dan 155,351 dos kedua.

Berdasarkan data terbaru JKJAV, program ini sudah memberi lebih 12.64 juta suntikan. – 16 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen