MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk membatalkan saman M Indira Gandhi terhadap polis dan kerajaan, kata peguam Rajesh Nagarajan hari ini.
Rajesh juga berkata Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali juga memerintahkan perkara itu dibicarakan dan akan bermula pada 15 Disember.
“Permohonan AGC ditolak dengan kos RM4,000 diberi kepada Indira Gandhi.
“Selepas arahan ditolak, mahkamah juga menetapkan perkara tersebut untuk dibicarakan yang akan bermula pada 15 Disember 2021,” kata Rajesh kepada wartawan semasa sidang media secara maya hari ini yang dianjurkan oleh Pasukan Tindakan Indira Gandhi (Ingat).
Indira, Pengerusi Ingat Arun Dorasamy dan penasihat kes, Sachpreetraj Singh hadir pada sidang media itu.
Indira memfailkan tuntutannya tahun lalu, dengan alasan polis tidak melaksanakan perintah waran terhadap bekas suaminya Muhammad Riduan Abdullah.
Beliau meminta ganti rugi dan pengisytiharan yang ketua polis negara melakukan “tort of nonfeasance” di pejabat awam.
Kerajaan memohon pembatalan saman dengan alasan ia remeh dan menyusahkan, dengan berkata ia adalah penyalahgunaan proses .
Memetik keputusan mahkamah hari ini, Rajesh berkata itu adalah kemenangan besar bagi mereka dalam proses perbicaraan.
Selain itu, Rajesh berkata mahkamah juga memberikan persetujuan kepada sebahagian permohonan interlokutori lain yang dibuat, apabila Indira meminta jawapan daripada ketua polis negara terhadap pertanyaannya. – 16 Julai, 2021.
Berita penuh di sini
Komen