PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran mengenai kemunculan varian baharu Covid-19 “lebih berbahaya” di seluruh dunia, kebanyakannya dicetus oleh varian Delta, yang pertama kali ditemui di India.
Data rasmi yang diperolehi AFP menunjukkan kes jangkitan Covid-19 meningkat semula di seluruh dunia sejak Jun, dengan lebih 540,000 dicatatkan dalam sehari pada Selasa dan Rabu.
“Pandemik ini tidak akan berakhir,” menurut kenyataan jabatan kecemasan WHO semalam.
Kenyataan itu juga menekankan kemunculan varian baharu tersebut akan menyebabkan usaha mengawal penularan jangkitan lebih sukar.
Beberapa negara kini sedang menghadapi gelombang baharu jangkitan Covid-19 membabitkan varian Delta. Antaranya Australia misalnya, yang awalnya dikatakan berjaya mengawal pandemik, tetapi kini mencatatkan hampir 1,000 kes dalam sebulan.
Lebih 12 juta penduduk di Melbourne dan Sydney diarahkan menjalani perintah berkurung susulan lonjakan kes.
Di Indonesia, sebanyak 56,757 kes baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam semalam.
Di Myanmar pula, ratusan penduduk dilaporkan beratur panjang mengisi tabung oksigen di bandar Yangon sejak awal pagi Rabu untuk dibawa pulang ke rumah bagi menyelamatkan ahli keluarga yang dijangkiti virus.
Pengerusi jawatankuasa kecemasan WHO Didier Houssin memberitahu pemberita trend terkini penularan Covid-19 ‘membimbangkan’.
Katanya, selepas satu setengah tahun, situasi ketika ini “masih mengejar virus ini dan virus itu masih mengejar kita”.
Setakat ini, empat varian Covid-19 yang dikenal pasti menular di seluruh dunia adalah Alpha, Beta, Gamma serta yang terbaru, Delta, yang boleh merebak dengan pantas. – AFP, 16 Julai, 2021.
Komen