PEMUDA Pakatan Harapan (PH) hari ini mencabar Pengerusi Barisan Nasional (BN) Najib Razak untuk berdebat dengan calon perdana menteri pakatan pembangkang, Dr Mahathir Mohamad.
“Najib dakwa Malaysia mempunyai demokrasi terbaik di dunia, jadi mari kita buat,” kata Ketua Pemuda PH Nik Nazmi Nik Ahmad di Petaling Jaya hari ini.
Beliau berkata menjadi kelaziman bagi demokrasi matang untuk mengadakan perdebatan menteri secara terbuka dan siaran langsung ketika kempen pilihan raya.
Katanya, ini bagi membolehkan rakyat membuat perbandingan bukan saja tentang kelayakan kedua-dua pemimpin, tetapi dasar yang ditawarkan oleh gabungan daripada kedua-dua parti politik.
Ketua Setiausaha Pemuda PH Howard Lee berkata pakatan itu sedia untuk menganjurkan debat itu atau BN juga boleh menjadi penganjur jika mereka mahu.
“Ia patut disiarkan secara langsung di RTM supaya semua orang dapat menontonnya secara percuma.”
Sementara itu, Pemuda PH turut mengumumkan ia akan memulakan jelajah ke seluruh negara untuk berhubung dengan golongan muda, bermula malam ini dan akan diadakan sehingga akhir Mac.
“Ia bukan saja ceramah. Kami akan adakan sembang kopitiam dan forum berskala kecil di peringkat Parlimen dan DUN, dianjurkan oleh kepimpinan PH negeri, bersama golongan muda termasuk pengkritik kami.
“Kami sudah pun mengumumkan tawaran kepada orang muda. Kami mahu tahu apa pendapat mereka.”
Forum pertama untuk membincangkan manifesto PH untuk belia akan diadakan di ibu pejabat Malaysiakini malam ini.
PH melancarkan manifesto untuk belia pada 6 Januari. Ia termasuk janji menaikkan gaji minimum kepada RM1,500, membina lebih banyak rumah mampu milik selain lesen motosikal secara percuma. – 16 Januari, 2018.
Komen