
Malaysia akan memilih dalam PRU14 tahun ini, dengan Perdana Menteri Najib Razak berdepan mentornya Dr Mahathir Mohamad. Bagi Jahabar Sadiq, ini liputan pilihan rayanya kali ke-7 dari serata pelosok tanah air.

DUA puluh tahun lalu, beginilah keadaannya di Kuala Lumpur. Di tepi jalan, deretan gerai menjual baju-T, barangan politik, sup ekor dan burger sementara di dalam dewan atau rumah penyokong parti, ahli politik membuat ucapan yang berapi-api.
Ratusan penyokong dan orang yang lalu-lalang akan berlegar-legar memasang telinga untuk menangkap butir bicara ucapan yang dibumbu ayat Quran, sumpah seranah dan janji untuk sebuah Malaysia yang lebih sejahtera.
Dua puluh tahun lalu, Anwar Ibrahim – timbalan perdana menteri yang dipecat dan pemimpin yang pada suatu masa adalah calon pengganti perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad, tokoh yang digelar “Mahafiraun”, diktator Malaysia.
Hujung minggu, Dr Mahathir sendiri. Tokoh yang selama 22 tahun memerintah Malaysia berdiri di pentas, mengikut jejak Anwar, cuba menyingkirkan perdana menteri sekarang serta gabungan parti yang memerintah.
Inilah parti dan gabungan yang pernah dipimpin oleh Dr Mahathir tetapi kini dikecam sebagai gerakan rasuah dan penyamun yang mesti ditumbangkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang perlu diadakan sebelum Ogos ini.
“Terpulanglah kepada rakyat untuk menyingkirkan penyamun besar ini,” katanya tenang di Setiawangsa di pinggir Kuala Lumpur.
Penyamun adalah perkataan kegemarannya sekarang untuk menggambarkan bekas anak didik politiknya, Najib Razak, perdana menteri Malaysia yang keenam.
Dr Mahathir umurnya 92 tahun tetapi tetap cergas, sesuatu yang katanya ada kena-mengena dengan baka baik dari orang tuanya. Sama seperti semasa berkuasa, beliau hari ini ke sana ke mari ke serata negara mengulang-ulang kecamannya terhadap Najib.
Tetapi ada satu ketika beliau, yang sekian lama menganggotai Umno dan mendaftarkan Umno Baru pada 1988 selepas parti itu diisytihar haram, terlupa sekejap.
Beliau sedang mengasak “penyamun” apabila berkata, “Mereka merompak dan buat apa saja tetapi mereka tetap akan pastikan orang menyokong Pak… Umno dan Barisan Nasional (BN).”
Pada ketika itu, beliau hampir saja tersasul menyebut Pakatan Harapan (PH), gabungan pembangkang yang diketuainya sekarang.
PH disertai oleh partinya sendiri, Bersatu dan bekas musuh politiknya, DAP dan PKR serta Amanah, parti serpihan PAS. PAS kini kekal jadi pembangkang tetapi dekat dengan Umno dan terasing daripada parti pembangkang yang lain.

Kerusi Parlimen Setiawangsa itu sendiri sebuah kawasan pilihan raya baru yang dikeluarkan daripada kawasan Parlimen Wangsa Maju pada 2004 untuk meningkatkan bilangan kerusi yang boleh dimenangi oleh BN selepas keputusan pilihan raya 1999 yang dipengaruhi oleh pemecatan Anwar setahun sebelumnya.
Secara kebetulan, Setiawangsa yang tiga kali semuanya dimenangi oleh BN diwujudkan selepas Dr Mahathir bersara pada 2003. Ini adalah lawatannya yang pertama ke kawasan itu dalam majlis untuk melancarkan parti bahagian di situ.
Partinya mahukan kerusi itu, yang pertama kali ditandingi oleh PAS pada 2004 dan kemudian PKR dalam pilihan raya satu lawan satu pada 2008 yang menyaksikan BN hilang majoriti dua pertiga dan kemudian kalah lagi undi popular pada 2013.
Sama seperti beberapa kerusi lain yang diintai oleh Bersatu, Setiawangsa kerusi majoriti Melayu yang pada suatu ketika dulu hanyalah kawasan perkampungan yang penduduknya bekerja di kilang-kilang berdekatan atau di Kementerian Pertahanan di Jalan Semarak.
Hari ini, di kawasan itu ada kondomonium mewah, kawasan perumahan kelas atas, rumah batu lebih besar, asrama pelajar dan pusat beli belah sementara rumah pangsa kerajaan dirobohkan oleh pemaju. Landasan tren transit aliran ringan (LRT) membelah kawasan ini sejajar dengan lebuh raya bertol.
Kemakmuran dapat dirasai, kesan pertumbuhan ekonomi lebih tinggi selama beberapa tahun semasa era Dr Mahathir melalui penswastaan dan projek infrastruktur yang turut mengagihkan borang merah jambu dan saham amanah kepada orang Melayu.
Agihan itu membantu membangunkan kawasan tersebut dan memastikan pengundi setia kepada Umno dan BN.
Tetapi lelaki dan wanita berumur yang mendengar ucapan Dr Mahathir pada malam itu memberikan gambaran yang lain. Kemakmuran selama bertahun-tahun itu menguntungkan mereka tetapi beberapa tahun kebelakangan ini tidak memberi manfaat apa-apa.
Mereka merungut tentang anak-anak yang masih memerap di rumah, tidak dapat kerja yang baik dan lebih banyak cukai yang perlu dibayar berbanding semasa zaman Dr Mahathir.
“Masa Dr Mahathir dulu kita dapat pink form atau saham amanah yang kita kena bayar sendiri tetapi untungnya ada. Sekarang, kerajaan kena beri kepada orang miskin.
“Itu saja menunjukkan bagaimana ekonomi sekarang menyusut. Mereka ambil duit kita dan beri kepada orang miskin,” kata lelaki berjanggut dengan baju-T merah terpampang potret Dr Mahathir yang memberikan namanya hanya sebagai Pak Ali.
Adakah selama ini dia menyokong Dr Mahathir? Ya, dari dulu dan tidak sokong Anwar semasa Reformasi, kata Wahab. “Selama ini saya tak pernah turun untuk tunjukkan sokongan, hanya undi BN saja tetapi hari ini, saya turun sebab kita perlukan perubahan.”
Dua puluh tahun lalu, itulah yang dikatakan oleh penyokong Anwar – yang muda dan yang marahkan layanan kerajaan terhadap bekas timbalan perdana menteri itu.
Hari ini, penyokong Anwar kini bersama-sama penyokong Dr Mahathir sama-sama memenuhi tapak ceramah, membeli baju-T, mengibarkan bendera dan berusaha mengembalikan dua pemimpin ini ke tampuk kuasa dan balik ke zaman sebelum hubungan itu putus pada 1998.
Adakah mereka akan berjaya? Barangkali. Ahli Parlimen BN, Ahmad Fauzi Zahari hanya menang dengan undi tipis 1,390 pada pilihan raya 2013, merosot berbanding majoriti 8,134 yang diperoleh oleh bekas wakil rakyat Zulhasnan Rafique pada 2008 dan 19,669 pada 2004.
Dr Mahathir tahu angka-angka ini, dan begitu juga penyokongnya. Beliau tentu akan lebih kerap singgah di kawasan kerusi majoriti Melayu ini dan mengulangi mesejnya kepada pengundi supaya membantu beliau menyingkirkan penyamun untuk kembali ke zaman makmur semasa beliau berkuasa. – 16 Januari, 2018.
Komen