VARIAN Covid-19, Delta didapati sangat mudah menular kerana ia boleh berjangkit kepada orang lain dalam tempoh 15 saat sahaja, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
Ketua pengarah kesihatan berkata jika dibandingkan dengan mutasi lain, tahap kebolehjangkitan varian Delta jauh lebih tinggi, sambil menambah ia juga menular melalui udara.
“Sebelum ini, kita tahu seseorang boleh dijangkiti daripada individu positif Covid-19 yang lain jika mereka kontak rapat kurang dari 1 meter selama kira-kira 15 minit.
“Tetapi sekarang, kami diberitahu varian Delta boleh menjangkiti seseorang hanya dalam masa 15 saat,” kata Noor Hisham pada sidang media hari ini.
Noor Hisham berkata varian Delta mempunyai tahap kebolehjangkitan RT antara 5 dan 8, sementara varian normal memiliki RT 2.5 hingga 3.
“Dalam kes seperti itu, jika 100 orang dijangkiti varian Delta, virus ini boleh menjangkiti 500 hingga 800 orang atau lebih,” katanya.
Noor Hisham berkata ini boleh meningkatkan kebolehjangkitan di kalangan masyarakat.
RT menunjukkan jumlah jangkitan baharu yang dianggarkan berpunca daripada satu kes, sementara R-naught atau R0 adalah tahap permulaan pandemik.
Varian Delta menular di lebih 100 negara di seluruh dunia. Ia pertama kali ditemui di India pada Disember tahun lalu, ketika itu dikenali sebagai varian India, atau varian B.1.617.2 yang membimbangkan.
Varian Delta sejak itu menjadi strain dominan di negara seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Israel.
Ia kini menyumbang kira-kira separuh daripada jangkitan di AS dan hampir semua jangkitan baharu di UK.
Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Tedros Adhanom Ghebreyesus baru-baru ini berkata varian ini merobek dunia dengan cepat, mencetus lonjakan baharu kes dan kematian.
“Delta kini berada di 111 negara dan kami menjangkakan segera menjadi strain Covid-19 yang dominan yang menular di seluruh dunia,” katanya.
Satu kajian di Scotland yang diterbitkan dalam jurnal perubatan The Lancet bulan lalu menyatakan varian Delta hampir dua kali ganda lebih mungkin menyebabkan kemasukan ke hospital berbanding varian Alpha, yang sebelumnya dikenali sebagai varian Kent / UK B.1.1.7.
Strain Delta juga menyebabkan penangguhan rancangan banyak negara untuk melonggarkan sekatan dan kembali kepada kehidupan normal. – 15 Julai, 2021.
Komen