Malaysia beralih kepada Pfizer selepas bekalan Sinovac habis, kata Adham


Ravin Palanisamy

KKM akan meningkatkan penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech di bawah program imunisasi, selepas memperoleh lebih 45 juta dos vaksin ini. – Gambar AFP, 15 Julai, 2021.

MALAYSIA akan menghentikan pemberian vaksin Covid-19 Sinovac keluaran China di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan selepas bekalannya habis, kata Dr Adham Baba.

Menteri kesihatan berkata mereka akan meningkatkan penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech di bawah program imunisasi, selepas memperoleh lebih 45 juta dos jenama ini.

“Kita sudah menempah untuk membawa masuk 45.7 juta dos vaksin Pfizer berbanding Sinovac, yang hanya ditempah kira-kira 16 juta dos,” kata Adham pada sidang media hari ini.

Adham menjawab soalan mengenai pengumuman Jabatan Kesihatan Kelantan yang ia akan menghentikan vaksin Sinovac pada akhir bulan ini.

Adham mengakui keputusan pemberhentian itu dan berkata penduduk di Kelantan akan menerima vaksin Pfizer.

Beliau berkata setakat ini, separuh daripada vaksin Sinovac sudah  diberikan, sementara separuh lagi untuk dos kedua. – 15 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen