MESYUARAT pertama Dewan Rakyat tahun ini akan diadakan selama 15 hari bermula 6 September, umum Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun.
Beliau juga mengumumkan mesyuarat kedua Dewan Rakyat ditetapkan 32 hari antara 25 Oktober hingga 16 Disember.
Azhar dalam satu kenyataan berkata takwim penggal keempat bagi penggal Parlimen ke-14 itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, selaku ketua majlis mesyuarat.
“Dengan pemakluman ini, istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 akan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 6 September jam 10 pagi bertempat di Bangunan Parlimen Malaysia, di Kuala Lumpur,” katanya.
Dalam satu kenyataan berasingan, Azhar memberitahu perdana menteri juga memaklumkan satu mesyuarat khas akan diadakan sebelum itu demi kepentingan orang ramai, yang ditetapkan bermula pada 26 Julai.
Katanya, Yang di-Pertuan Agong juga sudah memberi perkenan untuk perdana menteri mengadakan mesyuarat berkenaan walaupun Proklamasi Darurat bertarikh 11 Januari masih berkuat kuasa.
“Sehubungan itu, Setiausaha Dewan Rakyat Dr Nizam Mydin Bacha Mydin akan menyusul dengan mengeluarkan Pemberitahuan Mesyuarat Khas tersebut kepada semua Ahli Dewan Rakyat hari ini, memaklumkan bahawa Dewan Rakyat akan bersidang selama lima hari pada 26 Julai hingga 29 Julai dan 2 Ogos mulai 10 pagi,” katanya.
Bagi memastikan Mesyuarat Khas ini berlangsung dalam keadaan selamat, Azhar mengingatkan semua Ahli Dewan Rakyat supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard Pelaksanaan Persidangan Parlimen yang telah ditetapkan dengan mengambil kira pandangan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan.
Sebelum ini, pada 5 Julai Pejabat Perdana Menteri berkata kerajaan bersetuju menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Dewan Rakyat bagi mesyuarat khas, selama lapan hari.
Dewan Rakyat akan bersidang lima hari antara 26 Julai hingga 2 Ogos diikuti Dewan Negara selama tiga hari antara 3 hingga 5 Ogos.
Kenyataan itu menyebut mesyuarat khas adalah untuk menerangkan kepada ahli dewan mengenai pelan pemulihan negara dan meminda perundangan untuk menjalankan persidangan seterusnya secara hibrid.
Semua proklamasi darurat dan ordinan dibuat Yang di-Pertuan Agong juga akan dibentangkan di kedua-dua persidangan itu, selaras dengan Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.
Al-Sultan Abdullah sebelum menitahkan pandangan agar Parlimen bersidang secepat mungkin bagi membincangkan hal-hal yang bersangkutan dengan pengurusan Covid-19.
Kali terakhir Parlimen bersidang pada Disember tahun lalu, dan ditangguhkan selepas kerajaan mengumumkan darurat yang berkuat kuasa antara 11 Januari hingga 1 Ogos. – 15 Julai, 2021.
Komen