Annuar bertemu ahli Parlimen KL bincang langkah perangi Covid-19 esok


Elill Easwaran

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa semasa pelancaran Rumah Prihatin yang dahulunya Hotel Grand Seasons, di Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 15 Julai, 2021.

AHLI Parlimen dari Kuala Lumpur akan mengadakan pertemuan dengan menteri Wilayah Persekutuan esok mengenai langkah yang harus diambil untuk memerangi wabak Covid-19 di ibu negara.

Menterinya, Annuar Musa berkata beliau ingin mendengar saranan daripada mereka untuk mengekang jangkitan di KL.

“Saya ingin mengetahui pandangan dan cadangan mereka untuk menolong rakyat yang menderita sekarang,” katanya semasa pelancaran Rumah Prihatin yang dahulunya Hotel Grand Seasons.

Terdapat 11 ahli Parlimen di Kuala Lumpur, dengan sembilan daripadanya daripada Pakatan Harapan (PH) sementara dua lagi daripada Bersatu.

Annuar juga berkata proses vaksinasi berjalan dengan baik di KL, sambil menambah beliau yakin setiap orang akan mendapat suntikan dua dos pada awal Ogos.

“Selepas semua orang diberi vaksin maka kita terpaksa hidup dengan Covid-19 dan membuka lebih banyak sektor di Kuala Lumpur.

“Kita juga ingin ada kesedaran di kalangan masyarakat untuk menyesuaikan diri pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sebagai sebahagian daripada gaya hidup mereka,” katanya.

Sebanyak 14 kawasan di Kuala Lumpur kini berada di bawah dua minggu perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) sehingga 16 Julai.

Selangor dan Kuala Lumpur melaporkan sejumlah besar kes harian Covid-19. – 15 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen