Rekod baharu lagi hari ini 13,215 kes Covid-19, umum Kementerian Kesihatan


Rekod harian baharu ini menjadikan keseluruhan kes terkumpul sebanyak 880,782, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Julai, 2021.

JANGKITAN Covid-19 di Malaysia mencecah rekod tertinggi harian baharu dengan 13,215 lagi kes dikesan di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga tengah hari ini, umum Kementerian Kesihatan.

Ini juga adalah rekod lima angka untuk tiga hari berturut-turut, dengan hampir 6 daripada 10 kes itu dikesan di Lembah Klang.

Rekod harian baharu ini menjadikan keseluruhan kes terkumpul sebanyak 880,782, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, sejak Covid-19 mula dikesan di negara ini.

Selangor dan Negeri Sembilan juga mencatat rekod baharu kes harian tertinggi, yang meningkat dari hari ke hari sejak sekurang-kurangnya sejak empat hari lalu.

Selangor mengesan 6,120 lagi kes baharu sementara Negeri Sembilan 1,603 kes.

Selangor merekodkan 5,263 kes kelmarin dan turun sedikit kepada 5,051 semalam, manakala Negeri Sembilan mencatat 1,033 kes kelmarin dan 1,537 semalam.

Dua negeri Kedah dan Pulau Pinang juga merekodkan kes harian tertinggi, masing-masing 695 dan 509.

Kuala Lumpur pula merekodkan 1,499 kes baharu, lebih rendah berbanding semalam sebanyak 1,749 kes.

Semalam, Putrajaya menjelaskan pelan tindakan jawatankuasa bertindak khas untuk menangani Covid-19 di Lembah Klang, termasuk kawasan yang bersempadan dengan Selangor. – 15 Julai, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen