UMNO Terengganu mendesak kerajaan negeri PAS supaya segera mengisytiharkan tarikh persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk membincangkan isu mustahak berkenaan krisis kesihatan dan ekonomi yang berbangkit akibat pandemik Covid-19.
Agak tidak munasabah apabila kerajaan negeri pimpinan PAS belum lagi menetapkan tarikh persidangan DUN ketika negeri lain sudah berbuat demikian, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu Ahmad Said yang juga ketua pembangkang.
“Banyak negeri sudah tetapkan tarikh untuk bersidang. Yang paling pertama sekali isytihar negeri Johor.
“Jadi saya harap Terengganu dapat segerakan sidang DUN,” katanya kepada wartawan di Kuala Terengganu.
Ahmad turut menolak alasan Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum ini yang berkata pihaknya menunggu prosedur operasi standard (SOP) daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membuka DUN.
Adun Kijal itu berkata kerajaan tidak patut menjadikan SOP daripada MKN sebagai alasan kerana kerajaan negeri boleh membuat inisiatif dengan meminta SOP yang perlu, daripada hanya menunggu saja.
“Kenapa negeri lain boleh buat? Kalau nak tunggu SOP… itu beliau boleh minta. Kilang boleh buka kenapa sidang DUN tak boleh buka.
“Saya dah check (semak), semua Adun dah lengkap dua dos… jadi apa alasan beliau?
“Kalau beliau beri alasan ramai kakitangan sidang DUN tidak vaksin, Orang Asli boleh cepatkan untuk vaksin, takkanlah kakitangan (DUN) tak boleh nak diberi vaksin,” tambahnya.
Bulan lepas, Ahmad Samsuri yang ditanya media berkata kerajaan negeri menunggu MKN menetapkan SOP sebelum memutuskan tarikh persidangan DUN.
Katanya, kerajaan negeri sangat berharap persidangan DUN akan dapat dilakukan secara bersemuka dan bukan secara dalam talian.
Oleh itu beliau memerlukan saranan dan panduan daripada MKN dan Kementerian Kesihatan berhubung perkara itu.
Beberapa negeri sebelum ini mengumumkan persidangan DUN masing-masing pada Ogos, dengan Johor yang terawal pada 12 Ogos.
Raja-Raja Pemerintah selepas perbincangan khas dengan Yang di-Pertuan Agong genap sebulan yang lalu menggesa agar DUN dibuka segera untuk menjalankan peranan semak dan imbang terhadap kerajaan.
Mereka membuat pendirian itu sebagai mendukung titah pandangan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu Parlimen bersidang secepat mungkin.
Awal bulan ini, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan Parlimen akan bersidang selama lapan hari bermula 26 Julai. Dewan Rakyat akan bersidang lima hari antara 26 Julai hingga 2 Ogos diikuti Dewan Negara selama tiga hari antara 3 hingga 5 Ogos. – 15 Julai, 2021.
Komen