SEKURANG-kurangnya lapan kakitangan sebuah hotel di Jepun yang menempatkan pasukan judo Brazil dalam sukan Olimpik Tokyo, disahkan positif Covid-19, kata pegawai tempatan hari ini.
Seorang pegawai kesihatan dan sukan di bandar Hamamatsu di barat Tokyo berkata, kes dikesan melalui ujian saringan wajib ke atas kakitangan hotel, yang dijalankan sebelum 30 anggota rombongan pasukan judo Brazil tiba. Tidak seorang pun anggota rombongan menjadi kontak rapat kakitangan yang positif, katanya.
“Hanya mereka yang disahkan negatif sahaja dibenarkan bekerja,” kata Yoshinobu Sawada kepada AFP.
“Kami sudah menjelaskan kepada pasukan tersebut bahawa hanya kakitangan yang sihat sahaja berada di hotel. Kami rasa mereka faham dengan keadaan kami, ditambah pula dengan langkah-langkah pencegahan yang kami ambil.”
Tokyo kini melaksanakan darurat kesihatan susulan peningkatan kes Covid-19. Bandar raya itu mencatatkan 1,149 kes semalam, angka tertinggi direkodkan sejak Januari. – AFP, 15 Julai, 2021.
Komen