Selepas 80 tahun, kedai kopi tutup kerana pandemik


Noel Achariam

Restoran Hainan Sin Hoy How yang terletak di Jalan Tun HS Lee, Kuala Lumpur terpaksa tutup pintu selepas rugi teruk sejak pandemik Covid-19 menyerang awal tahun lalu.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 15 Julai, 2021.

SELEPAS 84 tahun menjamu roti bakar dan kopi kepada warga Kuala Lumpur, restoran Hainan Sin Hoy How yang terletak di sebatang jalan antara yang terawal di ibu negara akan tutup menjelang hujung bulan ini.

Kedai kopi di Jalan Tun HS Lee – yang dulunya dikenali sebagai Jalan Bandar dan sebelum itu High Street – terpaksa tutup pintu selepas rugi teruk sejak pandemik Covid-19 menyerang awal tahun lalu.

Kedai kopi itu menghidangkan kopi panggang adunannya sendiri, selain terkenal kerana mi kari kering bebola ikan, laksa asam dan nasi goreng belacan.

Tiga beradik yang mengendalikan kedai kopi warisan keluarga itu memberitahu The Malaysian Insight mereka tidak nampak jalan keadaan akan lebih baik selepas berkali-kali kerajaan mengenakan sekatan untuk mencegah penularan pandemik.

Kuala Lumpur diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) untuk kali ketiga, sama seperti wilayah dan negeri lain sejak 12 Mei.

Mary Lee, 66, berkata PKP yang berulang-ulang tidak memberi mereka pilihan selain tutup.

“Kami terjejas teruk sejak tahun lepas. Kami tutup lebih sebulan dan apabila buka balik, bisnes jatuh 50% sampai Julai.

“Selepas itu ada satu lagi PKP pada November dan bisnes jatuh sampai 90%. Langsung tak pulih sejak selepas Tahun Baru Cina tahun ini.”

May bersama kakak Lilian Lee, 71, dan adik Lily Fong, 55, adalah generasi kedua yang mengendalikan kedai kopi itu selepas bapa mereka yang memulakannya pada 1937.

Pada 1997, mereka berpindah dari seberang jalan ke tapak kedai sekarang.

Dari kiri May Lee, Lily Fong dan Lilian Lee bergambar kenangan di restoran mereka di Jalan Tun HS Lee, Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insight Hasnoor Hussain, 15 Julai, 2021.

Di kedai baharu, tiga beradik ini mengadun resipi tradisi Hainan untuk pelanggan yang kebanyakan pekerja pejabat dan bank di kawasan berdekatan.

Sekatan pergerakan yang dikenakan oleh kerajaan, termasuk arahan bekerja dari rumah, menjejaskan perniagaan mereka, kata May.

“Sewa bulanan RM6,300 termasuk kos operasi dan bil air api. Saya pakai duit simpanan untuk pastikan perniagaan ini terus hidup.

“Saya tidak mahu tutup kedai tetapi kalau jatuh sampai 90% macam sekarang, apa kami boleh buat? Macam mana nak hidup kalau tidak boleh makan di kedai?”

May yang berkerja di restoran itu sejak berumur 18 tahun sedih mengenangkan masa depan perniagaan warisan keluarganya.

Sebelum kedai kopi itu tutup, mereka berhasrat menjual beberapa perabot antik, yang sesetengah sudah berusia lebih 50 tahun.

“Sesetengah meja marmar dan kerusi antik mungkin saya beri kepada pelanggan tetap kami… yang lain akan dijual,” katanya.

Selepas itu, tambahnya, beliau tidak mahu membuka kedai makan seperti itu lagi.

Namun ada satu warisan daripada kedai kopi yang akan mereka pertahankan – kopi sangrai resipi ciptaan ayahnya. Kopi dengan jenama Sin Hoy How itu juga dijual di kedai kopi lain.

Menurut May, serbuk kopi itu akan dijual secara dalam talian dan di platform lain selepas kedai ditutup.

Masa lalu yang tidak kembali

Sementara itu, Lilian berkata mereka tiga beradik akan sangat merindukan pelanggan tetap yang selama bertahun-tahun datang makan dan minum di kedai itu, yang sudah mereka anggap macam ahli keluarga sendiri.

Selain itu, mereka juga akan rindukan segala kenangan indah membesar di kedai itu.

“Selalu ada yang menyeronokkan di Kuala Lumpur. Selalu saja ada sesuatu.

“Kenangan terindah saya ialah bekerja di kedai ini dan melayan pelanggan… menolong ayah semasa saya remaja.”

May Lee (kiri) dan Lillian Lee menyediakan hidangan kepada pelanggan di restoran mereka di ibu negara.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 15 Julai, 2021.

Seperti May, Lilian juga tidak merancang untuk kembali menceburi perniagaan makanan.

“Tidak ada bisnes dalam keadaan PKP macam ini. Saya hendak bersara,” katanya.

Lily yang bongsu antara tiga beradik juga berkata beliau akan merindui pelanggan mereka.

“Ada yang sudah datang ke kedai ini sejak 20 tahun lepas. Ada yang menyambut hari jadi dan tahun baru Cina di sini.

“Saya sangat sedih kerana kedai ini terpaksa ditutup selepas bertahun-tahun. Saya tidak pasti apa saya akan buat selepas ini,” katanya menahan air mata.

Menurut Lily, beliau sedia bekerja di kedai kopi lain di sekitar kawasan itu apabila keadaan kembali seperti sedia kala.

Nasib sama

Sin Hoy How menempuh nasib sama seperti lebih 2,000 kopitiam yang tutup kedai sejak pandemik menyerang, berdasarkan anggaran Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura.

Tahun lalu, Coliseum Cafe di Jalan Tunku Abdul Rahman di Kuala Lumpur juga tutup pintu.

Perniagaan makanan dan minuman adalah antara sektor yang terjejas teruk akibat pandemik kerana sekatan makan di tempat.

Makan di tempat pernah dibenarkan untuk beberapa bulan semasa PKP bersyarat dan pemulihan dengan syarat penjarakan fizikal.

Di bawah pelan pemulihan negara yang diumumkan pada 15 Jun lalu, makan di tempat hanya akan dibenarkan semasa Fasa 3 dan terhad untuk dua pelanggan semeja.

Fasa 3 ditandai dengan kes jangkitan harian Covid-19 di bawah 2,000, sementara 40% penduduk sudah selesai menerima suntikan vaksin dan sistem kesihatan awam berada di tahap selesa.

Selain lapan negeri, seluruh negara masih di Fasa 1 pelan pemulihan, dengan sebahagian besar Selangor dan Kuala Lumpur diletakkan di bawah PKP diperketatkan.

Lapan negeri yang kini di Fasa 2 ialah Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sarawak dan Sabah. – 15 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen