Seorang maut dalam tunjuk perasaan di Cuba 


Sekumpulan penunjuk perasaan anti-kerajaan berhimpun dan mengibarkan bendera di Havana, Cuba.– Gambar EPA, 14 Julai, 2021.

SEORANG maut dalam tunjuk perasaan anti-kerajaan di Cuba, menurut pihak berkuasa. 

Aktivis turut menyatakan lebih 100 orang penunjuk perasaan turut ditangkap dan ditahan di pusat tahanan. 

Ia merupakan perhimpunan terbesar sejak revolusi Cuba pada tahun 1950-an dan ketika negara itu berdepan krisis ekonomi terburuk dalam 30 tahun.

Menurut pergerakan San Idiro Cuba, 144 orang telah ditahan atau dilaporkan hilang susulan daripada tunjuk perasaan di beberapa bandar utama dan pekan di seluruh negara itu. 

Seorang lelaki berusia 36 tahun maut ketika tunjuk perasaan di pinggir bandar Havana pada Isnin, kata kementerian dalam negeri. 

Menurut agensi berita tempatan, lelaki terbabit dikenali sebagai Diubis Laurencio Tejeda dipercayai mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan. 

Penunjuk perasaan melaungkan “diktator perlu berundur” sebelum disuraikan oleh polis kira-kira di 40 lokasi di seluruh Cuba pada Ahad lalu. 

Namun kira-kira 100 penunjuk perasaan mula berhimpun semula di Havana pada Isnin.

Keluarga dan rakan kepada penunjuk perasaan yang ditahan masih tidak tahu di mana mereka berada. 

“Mereka dilarikan dari rumah masing-masing, bergari, tidak memakai baju dan pelitup muka,” kata seorang wanita berusia 50-an yang enggan namanya disiarkan yang turut mencari anak lelakinya berusia 20-an di balai polis di Havana. 

“Ramai yang mereka tahan di kawasan perumahan, tua dan muda.” – AFP, 14 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen