JUMLAH sampel ujian saringan RT-PCR dan RTK-Ag meningkat semalam sebanyak 131,706, paling tinggi setakat ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan.
Dr Noor Hisham Abdullah berkongsi maklumat itu di Twitter yang menunjukkan carta jumlah ujian dibuat sejak 14 hari lepas.
Jumlah ujian dibuat pada 12 Julai adalah 124,203.
Pada 30 Jun, iaitu permulaan tempoh ujian untuk 14 hari, jumlah ujian saringan harian yang dibuat antara 97,000 ke 98,000. Pada 4 Julai, ia menurun kepada 68,722, sebelum naik semula.
Sebelum tempoh 14 hari itu, ujian dibuat adalah pada sekitar 100,000 setiap hari iaitu pada awal Jun, tetapi ia turun kepada sekitar 70,000 hingga 80,000 pada akhir bulan.
Sudah sekian lama pengkritik menegur kerajaan tidak buat ujian secara agresif bagi memberi gambaran sebenar penularan Covid-19 di negara ini.
Semalam Dr Noor Hisham berkata jumlah kes Covid-19 dijangka meningkat dalam satu hingga dua minggu akan datang kerana ujian meningkat dan juga disebabkan varian Delta yang lebih menular.
Melalui Twitternya hari ini, beliau berkata keupayaan ujian boleh dipertingkatkan lagi, terutamanya di makmal swasta.
Carta lain yang dikongsi beliau menunjukkan makmal di bawah Kementerian Kesihatan, seperti Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dan makmal di bawah Kementerian Pertahanan, telah membuat saringan dengan kapasiti 100% dan lebih lagi.
Makmal Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) sekadar menguji sekitar 50%, sementara makmal di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi hanya menguji pada kapasiti 21%.
Makmal swasta menguji dengan kapasiti 42.6%.
Dalam seminggu terakhir, kadar positif Malaysia rata-rata 9%, bahkan dengan ujian dipertingkatkan, tanda menunjukkan virus masih tersebar luas.
Bagi pandemik terkawal, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mencadangkan kadar positif kurang dari 5%. – 14 Julai, 2021.
Komen