Kuasa tutup kilang bukan pada PBT, tapi kerajaan persekutuan, kata exco Selangor


Exco kerajaan tempatan Ng Sze Han berkata kuasa PBT di Selangor tiada bidang kuasa menutup kilang di negeri itu bagi membendung penularan pandemik Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Julai, 2021.

SELANGOR tiada bidang kuasa untuk menutup kilang di negeri itu bagi membendung penularan pandemik Covid-19 kerana ia terletak pada kerajaan persekutuan, kata exco kerajaan tempatan Ng Sze Han.

Kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor dalam hal ini hanyalah membantu pihak berkuasa yang diberi kuasa pelaksanaan membendung penyakit oleh menteri kesihatan melalui Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342, katanya.

“Bagi maksud Akta 342, pihak berkuasa tempatan tidak mempunyai bidang kuasa sama ada untuk membatalkan, menamatkan atau menarik lesen atau kebenaran secara sewenang-wenangya terhadap mana-mana kilang di negeri Selangor,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ng membuat kenyataan itu susulan rungutan dan desakan pelbagai pihak supaya kerajaan negeri menggunakan kuasa PBT untuk menarik balik lesen operasi kilang bagi membendung penularan Covid-19 di Selangor.

Ng menjelaskan isu sama juga sudah dirujuk kepada penasihat undang-undang negeri yang memaklumkan selain Akta 342, kerajaan negeri juga tertakluk kepada arahan dan prosedur operasi standard perintah kawalan pergerakan yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Antara yang mendesak termasuk Naib Presiden PKR Rafizi Ramli, yang menulis di Twitter, mahu kilang terlibat digantung lesen operasi mereka sementara.

Pertanyaan Rafizi sempat riuh di media sosial kelmarin apabila bertukar jadi pertengkaran antara puak dalam PKR dan Pakatan Harapan.

 

Peguam Syahredzan Johan, yang juga setiausaha politik veteran DAP Lim Kit Siang dan terlibat dalam perbualan di Twitter itu, semalam menulis panjang lebar mengenai bidang kuasa kerajaan persekutuan dan negeri dalam isu tersebut.

Akta Kerajaan Tempatan tidak terpakai

Menurut Ng, Akta Kerajaan Tempatan yang memberi PBT kuasa terhadap operasi kilang tidak lagi terpakai dalam urusan pencegahan Covid-19 kerana yang dipakai ialah Akta 342.

Sejak 18 Mac, 2020 setelah Putrajaya mengenakan PKP ke atas seluruh negara, menteri kesihatan menurunkan kuasa kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Rela untuk melaksanakan pencegahan penularan penyakit, termasuk memeriksa operasi kilang.

Kuasa itu diperluaskan kepada badan berkanun dan PBT melalui Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) Pindaan 2021 pada 3 Mac, 2021.

Pindaan itu bagaimanapun bukan memberi kuasa kepada PBT untuk menutup kilang, katanya.

Ia hanya kuasa untuk membolehkan pegawai kesihatan persekitaran di PBT membantu penguatkuasaan SOP dan arahan kerajaan persekutuan.

“Kuasa tersebut masih di bawah kerajaan Persekutuan,” kata Ng.

Adun Kinrara itu juga menjelaskan setakat ini PBT Selangor terlibat dalam operasi pematuhan SOP yang diterajui oleh Kementerian Dalam Negeri.

Kerajaan negeri juga bersedia melaksanakan tindakan dan dasar yang perlu bagi mencegah Covid-19 dalam batas dan parameter undang-undang yang ada, katanya.

Selangor konsisten merekodkan kira-kira separuh daripada kes jangkitan baharu Covid-19 di seluruh negara, yang dalam masa seminggu ini melonjak dari paras 9,000 melebihi 11,000.

Sebahagian besar daerah di Selangor juga kini diletakkan di bawah PKP diperketatkan (PKPD), yang membolehkan pihak berkuasa kesihatan menjalankan saringan bersasar lebih meluas kepada penduduk terlibat. – 14 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen