Tukar lebih banyak hotel jadi pusat kuarantin risiko rendah, kata Kian Ming


Beberapa hotel di Lembah Klang sudah ditukar kepada pusat kuarantin pesakit Covid-19 pada masa ini dan jumlahnya patut ditambah, kata Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Julai, 2021.

PUTRAJAYA perlu mempertimbangkan untuk menjadikan lebih banyak hotel sebagai pusat kuarantin berisiko rendah bagi pesakit Covid-19, kata Ong Kian Ming hari ini.

Ahli Parlimen Bangi itu berkata tindakan itu juga akan memberi peluang untuk membantu sektor perhotelan yang terjejas teruk akibat pandemik.

“Dengan tiada tetamu yang mendaftar masuk, banyak hotel terpaksa ditutup. Tetapi ada sebahagiannya ditukar menjadi pusat kuarantin berisiko rendah untuk pesakit Covid-19 Kategori 1 (tidak bergejala) dan Kategori 2 (bergejala sederhana), katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata beberapa hotel di Lembah Klang sudah ditukar kepada pusat kuarantin pesakit Covid-19.

“Ini termasuk Saujana Subang, Royal Chulan KL, SILKA Cheras dan paling terbaru sebuah resort hotel di Bandar Baru Bangi, Selangor.

“Apa yang saya faham ialah permintaan untuk bilik hotel ini sangat tinggi, dengan kebanyakannya mencapai kadar penginapan hampir 100%.

“Lebih banyak hotel di Lembah Klang perlu dibenarkan ditukarkan sebagai pusat kuarantin berisiko rendah, termasuk hotel bajet, bagi memenuhi pelbagai permintaan harga berbeza untuk pilihan pesakit,” katanya.

Cadangan Ong itu susulan beberapa posting di media sosial mendedahkan gambar hospital yang terlalu penuh, termasuk pusat kuarantin di pusat penilaian Covid-19 di Selangor.

Semalam, jumlah kes baharu harian Covid-19 di negara ini mencecah 11,079 dengan sebahagian besarnya kes di Lembah Klang.

Ong berkata salah satu cara dapat meringankan beban kerajaan dan petugas kesihatan dan barisan hadapan ialah dengan mengubah suai proses penilaian untuk pesakit Covid-19. – 14 Julai, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen