424,541 suntikan vaksin diberi semalam, tertinggi setakat ini


Sebanyak 12.21 juta suntikan vaksin Covid-19 sudah diberikan kepada penduduk Malaysia di bawah program bermula pada 24 Februari. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Julai, 2021.

JUMLAH vaksinasi harian semalam mencecah 424,541 dos vaksin Covid-19 di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, kata Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) hari ini.

Daripada jumlah ini, 260,286 adalah dos pertama sementara selebihnya 164,255 mereka yang menerima dos kedua.

Ini menjadikan jumlah dos yang diberikan di bawah program bermula pada 24 Februari itu sebanyak 12.21 juta.

Sebanyak 3.84 juta orang atau 16.4% populasi dewasa berjaya diimunisasi sepenuhnya sementara 8.36 juta atau 35.7% orang dewasa di Malaysia layak untuk menerima vaksinasi, sudah menerima dos pertama mereka.

Labuan menyaksikan kadar vaksinasi penuh tertinggi dengan 48.7% populasi orang dewasa berjaya melengkapkan dos kedua mereka.

Sementara itu, 16% populasi dewasa di Lembah Klang, iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor, menyelesaikan dos kedua.

Sebanyak 3.19 juta orang dewasa di Lembah Klang atau 51.9% daripada populasi yang disasarkan telah menerima dos pertama mereka sementara 984,631 sudah menyelesaikan dos kedua.

Malaysia melaporkan 11,097 kes Covid-19 semalam, yang tertinggi sejak bermulanya wabak pada 25 Januari tahun lalu.

Ini juga pertama kali jumlah kes harian mencecah lima digit.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah semalam berkata kes harian dijangka terus meningkat dalam tempoh dua minggu ini sebelum stabil susulan lebih banyak ujian saringan dijalankan oleh pihak berkuasa.

Beliau mengaitkan kenaikan dengan varian membimbangkan, seperti strain Delta yang menular dengan pantas. – 14 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen