DATUK Bandar London Sadiq Khan pada Rabu meminta penggunaan pelitup muka terus diwajibkan bagi pengangkutan awam di ibu negara Britain selepas kerajaan merancang untuk melonggarkan sekatan Covid-19 yang bermula pada 19 Julai.
Di bawah rancangan itu, penumpang perkhidmatan Transport for London (TfL) - yang merangkumi rangkaian kereta api bawah tanah, bas, trem dan kereta api di bandar - perlu memakai pelitup muka selepas sekatan di seluruh England berakhir susulan pelan ditetapkan oleh Perdana Menteri Boris Johnson.
“Saya berulang kali menjelaskan pilihan paling mudah dan selamat adalah bagi kerajaan mengekalkan syarat negara bagi pelitup muka untuk pengangkutan awam,” kata Khan dalam satu kenyataan.
“Saya tidak bersedia meletakkan warga London, dan pemulihan bandar kita dalam risiko. Inilah sebabnya, selepas mempertimbangkan dengan teliti, saya memutuskan untuk meminta TfL mengekalkan syarat bagi penumpang memakai pelitup muka di semua perkhidmatan TfL ,” katanya.
Johnson dan setiausaha kesihatannya, Sajid Javid berkata semua sekatan mengekang virus di England akan ditamatkan pada 19 Julai, sebagai usaha peralihan daripada penguatkuasaan peraturan Covid kepada tanggungjawab peribadi.
Bagaimanapun, langkah itu menimbulkan kebimbangan di kalangan saintis yang memberi amaran keputusan itu terlalu cepat dan mungkin menyebabkan peningkatan jangkitan secara dramatik.
“Dengan pemakaian pelitup muka, kami akan memberi jaminan dan keyakinan warga London dan pengunjung untuk memanfaatkan sepenuhnya apa yang ditawarkan bandar kami, di samping melindungi pekerja pengangkutan,” kata Khan.
“Ia lapisan perlindungan tambahan selain rejim pembersihan TfL yang terkemuka di dunia - dan saya yakin warga London akan terus melakukan perkara yang betul seperti dilakukan sepanjang wabak ini, dan terus memakai pelitup muka semasa menaiki perkhidmatan TfL,” katanya. – AFP, 14 Julai, 2021.
Komen