Najib desak kerajaan berundur


Bekas perdana menteri Najib Razak menerusi Facebook meminta kerajaan agak berundur selepas gagal menangani wabak Covid-19 dan kelembapan ekonomi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Julai, 2021.

Dengan peningkatan kes yang direkodkan sebagai tertinggi di Malaysia setakat ini, Najib Razak menerusi media sosial mendesak kerajaaan agar berundur

Bekas perdana menteri itu berterusan menggunakan Facebooknya untuk mengkritik kerajaan atas kegagalan menangani wabak dan juga kelembapan ekonomi.

Beliau sering menyasarkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali.

Kritikan itu dibuat di Facebook hanya beberapa minit selepas Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan Malaysia mencatatkan 11,079 jangkitan baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam terakhir.

Menerusi laman sosial itu, beliau menulis sebanyak 11,079 kes baharu dilaporkan hari ini diikuti dengan tanda pagar letak jawatan (#stepdown). 

Dalam catatan kedua, beliau menyindir kerajaan dengan mengatakan rakyat meminta skim KWSP i-Citra dinaikkan kepada RM10,000 tetapi “kerajaan menaikkan Covid-19 lebih 11k”. 

i-Citra adalah skim baharu yang diumumkan oleh Muhyiddin bulan lalu bagi membolehkan ahli KWSP mengeluarkan wang sebanyak RM5,000 dari simpanan KWSP bagi mengatasi masalah kewangan. 

Awal minggu ini, Najib berkata Muhyiddin perlu meletak jawatan kerana gagal menangani wabak Covid-19 di negara ini. 

Beliau berkata ini sebagai tindak balas terhadap keputusan Umno untuk menarik sokongan terhadap Muhyiddin dan dalam usaha mereka meminta perdana menteri sementara dilantik bagi menangani krisis kesihatan.

“Cadangan Umno ialah PM8 perlu mengambil tanggungjawab untuk undur setelah keadaan Covid dan ekonomi negara tambah berkali ganda lebih teruk biarpun kerajaan telah diberi kuasa penuh Darurat selama 7 bulan.

“Ada yang kata menukar PM sekarang akan menjejaskan usaha kerajaan melawan Covid.

“Tapi jika semakin gagal melawan Covid selama 7 bulan dengan kuasa penuh Darurat, apa lagi nak dikato?

“Sudah tentu seorang perlu bertanggungjawab atas kegagalan bersambung kegagalan kerajaan yang banyak mengorbankan nyawa manusia dan menyusahkan seluruh Rakyat Malaysia.

“Kerajaan terus jalan dan dasar-dasar baharu setiap kerajaan baharu yang tukar PM lebih menyakinkan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook pada Ahad lepas. – 13 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen