PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam berkata dunia kini “tersasar jauh dari landasan” untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan 2030, apabila 720 hingga 811 juta penduduk dunia menghadapi kebuluran pada 2020, lebih 161 juta berbanding 2019.
“Kos tinggi, ditambah dengan tahap kemiskinan dan jurang pendapatan yang sangat besar, menyebabkan sekitar tiga bilion orang tidak mendapat bekalan makanan yang sihat, di setiap wilayah di dunia,” kata Setiausaha Agung PBB, António Guterres dalam satu kenyataan.
Justeru, katanya Sidang Kemuncak Sistem Makanan global, yang akan berlangsung pada September amat penting dan tepat pada masanya, lapor Xinhua.
Meskipun kebuluran meningkat sejak beberapa tahun, Guterres berkata pada 2021, “kita gagal memberikan apa yang sepatutnya menjadi hak asasi bagi manusia di seluruh dunia.”
“Covid-19 tidak hanya memburukkan lagi keadaan, malah turut menunjukkan jurang ketidaksamaan kemiskinan, makanan dan penyakit,” tegasnya.
Beliau berkata walaupun terdapat peningkatan 300 peratus dalam pengeluaran makanan global sejak pertengahan 1960-an, kekurangan zat makanan adalah faktor utama yang menyumbang kepada pengurangan jangka hayat.
Ujarnya, perubahan iklim bukan sahaja menjadikan manusia terpaksa berperang dengan alam semula jadi tetapi turut mendorong kepada masalah kebuluran.
“Dan kebuluran turut mencetuskan konflik,” kata Guterres.
Agenda Pembangunan 2030 memperakui, kebuluran dan kekurangan zat makanan saling berkaitan dan harus ditangani bersama dengan cabaran global yang lain.
“Sudah tiba masanya untuk kita menepati janji,” katanya.
Beliau menyatakan Agenda 2030 turut berfungsi sebagai kerangka untuk pemulihan Covid-19
manakala pelaburan dalam perubahan sistem makanan pula akan menyokong transformasi itu. – Bernama, 13 Julai, 2021.
Komen