Peralihan Fasa 2 PPN di Sarawak bukan keputusan tergesa-gesa, kata Uggah


Timbalan Ketua Menteri Douglas Uggah Embas berkata keputusan peralihan Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara di Sarawak tertakluk kepada tiga syarat utama yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Julai, 2021.

KEPUTUSAN untuk Sarawak beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negera (PPN), bukanlah satu keputusan yang tergesa-gesa, kata Timbalan Ketua Menteri Douglas Uggah Embas hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, keputusan itu tertakluk kepada tiga syarat utama yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), iaitu jumlah kes yang dilaporkan, kapasiti kemudahan kesihatan, dan jumlah peratusan rakyat yang telah divaksinkan.

Berdasarkan statistik terbaharu yang dikeluarkan di vaksincovid.gov.my, jumlah penduduk yang sudah menerima dos pertama vaksin di Sarawak adalah 1,413,184 orang, atau 50.18 peratus daripada jumlah penduduk yang layak, dan peratusan ini jauh melepasi nilai ambang 10 peratus yang diperlukan untuk beranjak ke fasa seterusnya.

“Jadi keputusan itu bukan keputusan yang tergesa-gesa ataupun tidak mengambil kira sains, tetapi telah dinilai secara profesional oleh MKN (Majlis Keselamatan Negara),” katanya pada sidang media selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) di Klinik Bra’ang Bayur.

Mulai esok, Sarawak akan beralih ke Fasa Dua PPN, di mana beberapa sektor ekonomi dibenarkan untuk kembali beroperasi berdasarkan garis panduan yang telah ditetapkan MKN.

Dalam perkembangan lain Uggah berkata, setakat ini program vaksinasi hanya membenarkan individu yang berusia 18 tahun ke atas sahaja, untuk menerima vaksin.

“Bagi yang berusia 18 tahun ke bawah, kita (Sarawak) menunggu keputusan daripada MKN, oleh itu tiada vaksinasi bagi mereka setakat ini,” katanya. – Bernama, 13 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen