PUSAT Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Maeps di Serdang, Selangor sedang berdepan masalah kekurangan bekalan oksigen, kata sumber.
The Malaysian Insight difahamkan pusat itu pada masa ini sedang berusaha mendapatkan oksigen daripada pembekal lain.
“Kami sedang mencari syarikat yang boleh memberikan bekalan oksogen hari ini,” kata sumber.
Kekurangan bekalan itu akan menjejaskan kira-kira 100 pesakit yang memerlukan bekalan oksigen.
Pusat itu yang menempatkan lebih 5,000 katil menerima purata 800 pesakit sehari dengan 200 daripadanya dalam Kategori 4.
Menteri Kesihatan Dr Adham Baba pada 8 Julai berkata semua 154 katil yang diperuntukkan untuk pesakit Kategori 4 di Maeps sudah digunakan.
Pesakit Covid-19 Kategori 4 merujuk kepada pesakit yang ada gejala pneumonia dan diberikan bantuan sokongan oksigen sementara pesakit Kategori 5 juga menghidapi gejala sama dan mempunyai masalah kegagalan fungsi organ.
Beliau berkata kementerian akan menambah sumber di pusat rawatan Covid-19 bagi menangani lambakan pesakit.
Katanya, Maeps juga akan menerima 1,550 silinder oksigen bagi memastikan bekalan mencukupi di pusat itu.
Kementerian juga memutuskan untuk membeli 300 unit mesin oksigen.
The Malaysian Insight pada 25 Jun melaporkan hampir 150 pesakit Covid-19 di Maeps PKRC 2.0 sedang menunggu untuk dipindahkan ke hospital, yang juga sudah penuh.
Kapasiti hospital di Lembah Klang penuh susulan jumlah kes jangkitan Covid-19 yang terus meningkat. – 13 Julai, 2021.
Komen