UMNO belum bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum jika menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang, kata Tajuddin Abdul Rahman dalam satu rakaman audio.
Rakaman suara Parlimen Pasir Salak itu dipercayai dirakam semasa mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada Rabu lalu.
Beliau mengesahkan kepada portal berita FMT berhubung kesahihan rakaman audio berkenaan yang tular di media sosial dan menunjukkan beliau tidak sehaluan dengan pimpinan parti.
“Saya bagi tahu anda semua sekarang, adakah semua tahu apa status kawasan-kawasan kita (Umno)? Adakah kita bersedia untuk menghadapi pilihan raya?
“Saya beritahu data menunjukkan kita (Umno) memerlukan satu tahun untuk perkuatkan jentera pilihan raya. Berapa banyak lagi senarai ini, kawasan Parlimen tidak bersedia.
“Tapi ada pemimpin kata nak buat kerja pakailah duit sendiri… takkan nak bergantung kepada parti, cakap senanglah.
“Realitinya mereka perlukan sokongan, sokongan kewangan, tanpa kewangan mereka tidak boleh bekerja,” kata Tajuddin.
Beliau mengingatkan MKT bahawa Umno setuju untuk menarik balik sokongan terhadap PN hanya pada masa yang sesuai, seperti yang dimuktamadkan pada perhimpunan agung parti pada Mac.
Dalam rakaman itu, Tajuddin juga menyelar keputusan MKT Umno untuk menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
“Ini kerana keputusan PAU adalah untuk kita menarik diri daripada kerajaan (PN), tak ada sebut kata nak menarik sokongan kepada perdana menteri.
“(Ini) sudah lain ni, apakah ini after thought? Iaitu untuk mengambil tindakan mendesak supaya kita tarik daripada kerajaan itu nampaknya tak boleh jalan, jadi kita ubah sikit.
“Iaitu kita buat keputusan tarik sokongan kepada perdana menteri sahaja,” katanya.
Awal pagi Khamis lalu, Zahid mengumumkan parti itu menarik balik sokongan kepada Muhyiddin dengan serta merta selepas mesyuarat MKT Umno.
Alasannya, PN gagal mengawal pandemik Covid-19, membantu ekonomi dan kesejahteraan rakyat dan menyalahguna kuasa darurat untuk menggantung demokrasi berparlimen.
Zahid ketika mengumumkan keputusan Umno minggu lalu berkata perdana menteri baharu perlu dilantik sehingga negara berjaya tangani pandemik dan mencapai imuniti kelompok melalui vaksinasi sebelum mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15.
Beliau bagaimanapun tidak menamakan calon perdana menteri sementara itu.
Semalam, The Malaysian Insight melaporkan hanya enam ahli MKT Umno enggan menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi menarik sokongan terhadap Muhyiddin.
Seorang ahli MKT Umno berkata, SD tersebut terlebih dahulu diserahkan kepada setiap ahli MKT sebelum mesyuarat jawatankuasa itu berlangsung pada Rabu malam secara hibrid.
Selain itu, Tajuddin turut mempersoalkan mengapa tiada pemimpin tertinggi Umno mengucapkan tahniah kepada Ismail Sabri Yaakob yang dilantik sebagai timbalan perdana menteri.
Pelantikan Ismail Sabri sepatutnya dilihat sebagai peluang bagi Umno untuk menguasai kerajaan, katanya.
Pengumuman mengenai pelantikan Ismail Sabri itu dibuat beberapa jam sebelum MKT Umno bermesyuarat pada Rabu lalu. Penganalisis politik melihat pelantikannya itu akan melemahkan pengaruh Zahid dalam parti. – 13 Julai, 2021.
Komen