Terus pakai baju hitam sehingga Muhyiddin letak jawatan, kata gerakan Bendera Hitam


KUMPULAN di sebalik gerakan media sosial Bendera Hitam yang menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mahu orang ramai terus memakai pakaian berwarna hitam ketika keluar dan mengikat kain hitam di kenderaan mereka.

Seorang jurucakap dari kumpulan masyarakat Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) berkata, mereka tidak akan menghentikan protes itu walaupun siasatan polis sedang dijalankan.

Polis sedang menyiasat kempen Bendera Hitam di bawah Akta Hasutan serta Akta Komunikasi dan Multimedia selepas SSR menggesa orang ramai mengibarkan bendera hitam dari rumah mereka pada 3 Julai dan menyiarkan gambar di media sosial.

Mereka kemudian mengadakan kempen selama tiga hari bermula 10 Julai sehingga hari ini dengan memakai pakaian hitam ketika keluar dari rumah dan mengikat kain hitam di kenderaan mereka.

SSR menuntut peletakan jawatan Muhyiddin, persidangan fizikal Parlimen secara penuh dan penamatan darurat.

Jurucakap SSR yang tidak mahu dikenali berkata, tindakan ini akan berterusan sehingga tiga tuntutan mereka dipenuhi. 

“Minggu ini, kami mendesak orang ramai mengenakan pakaian hitam ketika keluar membeli makanan atau barangan keperluan dam memakai warna hitam ketika mendapatkan vaksin serta mengikat kain hitam di kenderaan mereka.

“Kami ingin menjaga sentimen itu. Jelas kerajaan gagal menangani wabak ini,” kata jurucakap gerakan berkenaan. – 12 Julai, 2021.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen