MENTERI Wilayah Persekutuan Annuar Musa dikompaun RM2,000 kerana melanggar peraturan pencegahan penularan Covid-19 setelah mendedahkan beliau menziarahi bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Mohamad Zainal Abdullah berkata kompaun itu dikeluarkan mengikut Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.
“Kompaun dikeluarkan sebanyak RM2,000,” katanya dalam satu kenyataan.
Pejabat Annuar dalam satu kenyataan hari ini berkata kompaun itu akan dibayar secepat mungkin.
“(Annuar) menerima kompaun daripada Polis Diraja Malaysia dan akan menjelaskan kompaun tersebut secepat mungkin,” kata kenyataan tersebut.
Pada Sabtu lepas, Annuar menulis di Twitter menghebahkan beliau dan isteri menziarahi Abdullah dan isteri Jeanne Abdullah, dan mereka dijamu makan tengah hari.
“Hari ini kami suami isteri ambil peluang ziarah Tun Abdullah Badawi dan Tun Jeane Abdullah di kediaman mereka di Bait Badawi di Kuala Lumpur.
“Lebih dua jam bersama dan makan tengah hari masakan Tun Jeane. Semoga Allah SWT sentiasa merahmati Pak Lah seisi keluarga,” tulisnya.
Tindakan Annuar memancing kemarahan umum kerana perintah kawalan pergerakan yang masih berkuat kuasa termasuk yang diperketatkan di sesetengah kawasan melarang orang ramai berkunjung ke rumah orang lain.
Annuar kemudian memadam tulisannya di Twitter. – 12 Julai, 2021.
Komen