TERDAPAT lonjakan jumlah pesakit yang dijangkiti Covid-19 pada minggu lalu menyebabkan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Melawati, Shah Alam sesak , kata Dr Dzulkefly Ahmad.
Dr Dzulkefly, yang merupakan pengerusi Pasukan Petugas Khas Menangani Covid-19 di Selangor memberitahu The Malaysian Insight bahawa jumlahnya terus meningkat melebihi 1,000 pesakit setiap hari tetapi baru-baru ini jumlahnya hampir mencecah 2,000 orang di CAC Stadium Melawati.
Hari ini, pengguna sosial media berkongsi gambar barisan panjang di luar CAC Stadium Melawati yang menunjukkan betapa seriusnya situasi pandemik Covid-19 di Selangor.
Selangor mencatatkan purata 4,000 jangkitan baharu sejak seminggu lalu disebabkan jumlah dan kepadatan penduduknya.
Semalam, Selangor mencatatkan 4,682 kes baharu sementara Kuala Lumpur mencatatkan 1,247 kes baharu.
“Kesemua yang berada di CAC Stadium Melawati positif Covid-19,” kata Dzulkefly.
“Sebilangan daripada mereka akan dinilai sama ada perlu dikuarantin di rumah atau dimasukkan ke pusat kuarantin Covid-19 dan pusat rawatan berisiko rendah (PKRC) seperti Maeps Serdang.
“Sebab lain kenapa perlu ke CAC adalah untuk mendapatkan atau menamatkan perintah pengawasan di rumah (HSO) iaitu memakai atau memotong gelang merah jambu mereka,” katanya.
Bekas menteri kesihatan itu berkata CAC perlu dijadikan pusat saringan sahaja.
Bagi mengelak berlaku kesesakan, Dzulkefly berkata kerajaan perlu mempertimbangkan untuk memberikan tugas menjalankan saringan kepada klinik swasta dan pusat kesihatan.
“CAC hanya boleh digunakan untuk menyaring dan tidak memotong gelang tangan. Gelang ini boleh dipotong di pihak berkuasa tempatan. Ini benar-benar hanya untuk memotong gelang.
“CAC mesti sistematik. Bagi pesakit berusia 50 tahun ke atas dan mereka yang berisiko tinggi boleh dimasukkan ke PKRC secara automatik tanpa perlu melalui CAC,” katanya.
Kerajaan membuka CAC pada Januari apabila jangkitan Covid-19 setiap hari mulai meningkat bagi mengelakkan kesesakan di hospital awam.
Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata terdapat 213 CAC di seluruh negara.
Bagi meredakan kesesakan itu, Kementerian Kesihatan pada bulan lalu berkata pihak mereka merancang mendirikan pusat panggilan bagi membantu proses pemantauan CAC. – 12 Julai, 2021.
Komen