PRESIDEN PAS Abdul Hadi Awang menegur mereka yang mencaci maki pihak berkuasa yang sedang berusaha menangani pandemik Covid-19 sebagai orang yang tidak tahu berterima kasih.
Beliau menyamakan mereka seperti orang buta yang memarahi orang yang menolongnya melintas jalan yang sibuk dan berbahaya.
“Sepatutnya berterima kasih kerana ada orang yang menolongnya, tetapi dibalas dengan maki hamun, seolah-olah tiada pertimbangan akal yang sihat, sudahlah matanya pula buta,” katanya dalam kenyataan semasa melalui kolum Minda Presiden PAS, di portal Harakahdaily.
Sejak kebelakangan ini, banyak pihak melepaskan geram termasuk dengan caci maki terutama di media sosial ketika kes jangkitan Covid-19 terus meningkat hari demi hari tujuh bulan selepas pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengenakan perintah darurat untuk menangani pandemik.
Sejak tiga hari lalu berturut-turut, kes harian Covid-19 mencecah lebih 9,000 sehari dengan kematian melebih 6,000 orang.
Mereka melepaskan kemarahan ekoran sesetengah peraturan pencegahan penularan yang tidak masuk akal seperti waktu operasi kedai makan antara 8 pagi dan 8 malam serta larangan penjualan barangan yang dianggap bukan perlu seperti alat tulis.
Mereka juga menghamburkan caci maki kepada ahli politik termasuk pemimpin kerajaan yang secara terbuka dan terang melanggar peraturan yang kerajaan sendiri tetapkan.
Ahli Parlimen Marang itu berharap mereka yang dimaki akan dapat pahala percuma sementara katanya mereka yang memaki dapat dosa mudah.
“Jika bernasib malang, mereka boleh menghadapi hukuman atau tindakan undang-undang, bersekali dengan dosa, kerugian di dunia dan di akhirat jika tidak meminta maaf dan bertaubat,” tambahnya.
Dalam pada itu, Hadi mengingatkan umat Islam agar tidak putus asa dalam menghadapi ujian pandemik Covid-19.
Beliau mengingatkan teladan daripada kisah Nabi Ayub yang sabar ketika diuji dengan penyakit.
“Kita perlu menyedari betapa masa sihat dan senang itu lebih panjang berkali ganda daripada masa sakit dan bencana.
“Namun, ramai dalam kalangan manusia yang lupa akan masa sihat yang panjang untuk bersyukur, sehingga lupa untuk bersabar ketika susah dalam masa yang lebih singkat,” katanya.
Memetik beberapa ayat Al-Quran, Hadi mengingatkan Allah melarang mereka yang beriman daripada putus asa kerana tidak reda dan bersabar dengan ujian.
“Segala usaha dan perjuangan untuk menangani Covid-19 oleh pihak pemerintah perlu didukung bersama tanpa berputus asa,” katanya, sambil menyeru rakyat agar menjayakan pelan pemulihan negara keluar daripada Covid-19 demi kebaikan semua.
Pada 15 Jun, Muhyiddin mengumumkan pelan pemulihan negara untuk keluar daripada pandemik, yang dilaksanakan melalui empat fasa. – 12 Julai, 2021.
Komen