Vaksinasi harian menurun 300,000 dos, kata JKJAV


Setakat semalam, jumlah dos vaksinyang diberikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sebanyak 11.36 juta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Julai 2021.

JUMLAH vaksinasi harian menurun kepada 291,217 dos semalam selepas melebihi sasaran 300,000 selama enam hari berturut-turut.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) berkata 190,186 orang menerima dos pertama semalam sementara baki 101,031 menyelesaikan dos kedua mereka.

Sementara itu, 313,761 dos diberikan pada 5 Julai, 340,043 (6 Julai), 375,842 (7 Julai), 376,909 (8 Julai), 337,478 (9 Julai) dan 324,745 (10 Julai).

Vaksinasi semalam menjadikan jumlah dos yang diberikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sebanyak 11.36 juta.

Sejumlah 7.84 juta diberikan sebagai dos pertama setakat ini di bawah usaha vaksinasi, merangkumi 33.5% populasi dewasa di Malaysia.

Sebanyak 3.52 juta atau 15.1% penduduk dewasa di negara ini telah diimunisasi sepenuhnya.

Lebih 1.39 juta dos pertama diberikan di Kuala Lumpur, iaitu 103.7% daripada populasi dewasa.

Selain itu, 358,619 atau 26.6% penduduk dewasa di ibu negara diimunisasi sepenuhnya.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata menerusi catatan di Instagram semalam yang kadar vaksinasi Malaysia lebih tinggi berbanding beberapa negara, termasuk United Kingdom (UK).

“Kadar vaksinasi kita melebihi UK ketika mereka berada di puncak kes,” katanya merujuk kepada data graf Our World in Data.

Progres vaksinasi dikritik sejak program kebangsaan dimulakan pada 24 Februari yang didakwa terlalu perlahan.

Khairy sebelum ini mengaitkannya dengan kekurangan bekalan dan memberi jaminan ia akan meningkat selepas Malaysia mendapat lebih banyak stok vaksin. – 12 Julai 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen